Khamis, 27 Januari 2011
Masih Lagi Tentang INTERLOK
Ahad, 23 Januari 2011
Yang Difirmankan
Yang difirmankan Allah:
dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya,
engkau melihat bumi ini kering dan tandus,
maka apabila Kami menurunkan hujan ke atasnya,
nescaya berubah dan subur dengan tumbuh-tumbuhan
sesungguhnya Allah Yang Menghidupkannya,
sudah tentu berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati.
sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.
Al-Fussilat, 39
Yang dizahirkan anak Adam:
lantas menyelerakkan hutan batu di serata bumi Allah
lantas menumbuhkan kota-kota atas pandang kontang
lantas mencipta tamadun yang menjadi pasak dan menggegarkan bumi
lantas membina jirim yang berupaya menyahkan suatu bangsa
lantas menerobohi angkasa untuk menguasai seluruh alam
lantas mengatur-atur peta alamiah sebagai genggaman tangan
lantas menyuburkan bumi bukan hanya dengan kesejahteraan
semakin gah semakin anak Adam alpa:
~ alpa terhadap nikmat ar-Rab
~ alpa terhadap perintah ar-Rab
~alpa terhadap larangan ar-Rab
lalu kita bina kubah-kubah bertahta zamrud tanpa penghuni
lalu kita ukir lembaran emas qalam-Nya untuk tontonan
lalu kita sedut emas-emas hitam menjadi armada
lalu kita jadikan Baitulmuqaddis sebagai muzium perang
lalu kita jadikan Badar sebagai sejarah Muhajirin
lalu kita tebarkan pengucap dua kalimah di ceruk-ceruk alam
lalu kita redakan Sungai Tigris dilimpahi merah-darah
lalu kita sorakkan bumi kontang Kabul dibedil-berai
lalu kita terus-terus izinkan bumi Palestin dikikis-toreh
Yang difirmankan Allah:
siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi
dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu?
lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu
kebun-kebun yang indah pemandangannya,
yang kamu tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya.
~Al-Naml, 60
Yang dizahirkan anak Adam :
adalah tamadun di atas kemusnahan di bumi nusa ini:
atas nama tamadun anak-anak padi menjadi anak-anak cerucuk
atas nama tamadun hutan nikmat menjadi dataran pepejal
atas nama tamadun lautan mewah menjadi hamparan tanah
atas nama tamadun tasik-paya menjadi tapak buangan
atas nama tamadun desa-kampung menjadi lubang hayunan
atas nama tamadun wilayah margas menjadi wilayah taruhan
atas nama tamadun bukit-gunung menjadi menara pancaran
Yang difirmankan Allah:
Telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut
dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia
timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan kepada mereka
sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang telah dilakukan,
supaya mereka kembali insaf dan bertaubat
Al-Rum, 41
Wahai anak-anak Adam
Mengapakah kamu rosakkan bumi Allah ini?
Selasa, 31 Ogos 2010
Hilangnya kewarasan kerana politik surau?
Kira-kira seminggu lebih menjelang ulang tahun kemerdekaan yang ke-53, satu isu yang turut mendominasi politik nasional adalah kehadiran seorang Ahli Parlimen dari DAP ke sebuah surau untuk memberikan sumbangan. Teo Nie Ching telah mengunjungi Surau Al Huda, menyampaikan sumbangan dan memberikan sedikit ucapan di ruang solat surau tersebut.
Terhasil dua pandangan yang bertentangan, satu pihak mengecam beliau sepenuhnya, sehingga timbul satu usul oleh badan bukan kerajaan agar diluluskan satu akta/ekenmen supaya orang bukan Muslim dilarang ke masjid dan surau. Satu pihak lagi menyokong beliau seratus-peratus. Polimik, perbicaraan malah perbalahan di media sesungguhnya sesuatu yang subur selagi dilakukan berasaskan sifat ilmiah dan objektif, bukan sokongan dan kecaman atas dasar politik semata-mata.
Penulis berpendapat bahawa ada 3 premises apabila membicarakan tindakan Ahli Parlimen tersebut iaitu dari segi hukumnya, dari segi tatacara lawatan dan dari segi peraturan negeri. Pertamanya adakah salah seorang bukan Islam mengunjungi surau mahupun masjid. Hukum Islam tidak sekali-kali melarang bukan Islam untuk mengunjungi surau dan masjid. Malah mungkin ini boleh menjadi pendekatan dakwah baru, walaupun sesungguhnya ini bukan pendekatan baru, orang Islam terhadap bukan Islam agar lebih mengenali dan lebih memahami pemikiran dan perasaan orang Islam. Alangkah elok indahnya, kalau orang umpama Obama, presiden Amerika Syarikat, mahupun orang kuatnya Clinton mengunjungi mana-mana masjid. Biarlah mereka tahu bahawa Islam adalah agama kesejahteraan.
Premises yang kedua adalah tatacara kunjungan ke surau dan masjid. Sesiapa sahaja hatta lelaki mahupun wanita tentulah harus tahu bahawa apabila memasuki ruang masjid seharusnya menutup aurat, walaupun pada waktu-waktu lain teralpa untuk menutup aurat. Begitu juga wanita bukan Islam apabila memasuki ruang masjid. Tatacara yang tidak bertulis juga termasuklah ruang di mana bagi bukan Islam boleh masuk. Ada banyak ruang di masjid sama ada di beranda, di dewan (jika ada) dan sebagainya cuma memilih ruang solat berhadapan dengan mimbar untuk menyampaikan sumbangan dan seterusnya memberikan ucapan adalah tidak kena dengan tatacaranya.
Yang ketiga adalah peraturan negeri yang telah diwartakan. Kebanyakan negeri telah membuat enekmen atau paling-paling peraturan bagi ahli-ahli politik untuk mengunjungi mana-mana masjid dan negeri. Peraturan ini dilakukan agar institusi keagamaan tidak disalahgunakan untuk tujuan politik, supaya apabila menjejaki surau dan masjid orang-orang Islam tidak berbalah, hatta kita kerap berbalah sehingga hampir-hampir merenggangkan tali silaturrahim di luar sana. Apatah lagi jika yang dijemput akan memberikan tazkirah, hatta ucapan yang tidak bersifat politik. Kehadiran Ahli Politik, walaupun bertujuan baik, walaupun tidak bercakap tentang politik, boleh dianggap sebagai menyanggah peraturan yang telah ditetapkan. Jika jabatan agama dirujuk dari awal-awal , mungkin ada nasihat tentang peraturan yang perlu dipatuhi.
Kadangkala dan kerapkala kita polimikkan sesuatu semata-mata atas sentimen kepartian, sehingga kita lupa untuk berani berbeza demi kebenaran yang hak. Kita harus menjadi lebih cerdik dan matang dalam membahaskan sesuatu isu akan perbicaraan itu tidak terkeluar dari norma-norma kebenaran. Malaysia hari ini meraikan ulangtahun kemerdekaan yang ke-53, lalu seharusnya kita sudah semakin matang demi perpaduan, demi kesejahteraan demi masa depan umat Islam negara ini. Kita mungkin berbeza daripada segi pemikiran, pandangan mahupun pegangan politik tetap tidak seharusnya berbeza dalam mempertahankan sebuah negara kita, satu-satunya negara yang kita ada. Ke manakah mahu kita lari jika negara kita terpelit dalam kancah perang seperti Bosnia Herzegovina dahulu?
Rabu, 18 Ogos 2010
Bangun Pagi
kring kring
jam loceng berbunyi
hari sudah pagi
pukul enam pagi
kena bangun pagi
kring kring
jam loceng menyanyi
beratnya mata
mengantuknya mata
bukalah mata
kring, kring
ayuh bangun pagi
sekolah sudah menanti
Isnin, 28 Jun 2010
Gerakan Membaca Perdana: Lembaran Baru Kempen Membaca
Ketika berjalan di sekeliling Taman Tasik itu, kelihatan pelbagai manusia dengan pelbagai jenis buku di tangan, malah organisasi yang secara sengaja membawa buku dan mengagihkan buku itu kepada mereka yang tidak membawa buku atau mahu membaca buku yang lain. Apabila secara rasmi pengiraan dibuat mulai jam 10 pagi, kelihatanlah anak-anak, pelajar universiti, pak cik dan mak cik, datuk dan wan, pak haji, belia India dan Cina, dan pelbagai manusia yang hadir, tekun membaca buku di tangan. Melalui sistem pengiraan yang dipersetujui bersama dengan Malaysian Book of Record, angka yang disahkan secara rasmi adalah 14,781 orang! Inilah rekod baru dan rekod sebeginilah yang harus sentiasa kita lakukan, yang lebih bernilai daripada rekod sate yang paling panjang, barisan yang paling panjang, bendera yang paling besar atau seumpamanya.
Lebih signifiken acara ini telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, yang telah mengelilingi tasik itu dengan bot bagi menyaksikan acara yang amat bermakna itu. Malah Baginda Sultan yang amat prihatin tentang hal-hal membaca telah turut turun ke Kompleks PKNS selepas itu untuk melawat Pesta Buku Selangor yang merupakan sebahagian daripada program Hari Ilmu.
Kita kerap bercakap tentang pentingnya membaca tetapi tidak ramai yang bersungguh-sungguh mengambil usaha agar rakyat membaca. Mungkin membaca buku di tepi tasik terasa janggal oleh ramai orang, tetapi PPAS telah mengambil langkah untuk berkempen bahawa membaca itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Membaca memang sesungguhnya boleh dilakukan di mana-mana. Sekumpulan individu yang prihatin malah telah mengambil inisiatif menggalakkan orang membaca di dalam lrt dan monorail. Kempen mereka melalui membaca@lrt dan membaca@monorail (kumpulan ini boleh dikesan di www.facebook.com) kelihatan telah membina momentum dengan taqlina membaca@... itu semakin bercambah.
Untuk menjadi negara maju, rakyat kenalah membaca. Untuk memajukan diri sendiri kita kenalah membaca. Membaca tidak tamat setelah kita menggenggam segulung ijazah kerana membaca adalah penting selagi hayat dikandung badan. Malah menggalakkan orang membaca adalah fardu kifayah. Pembangunan tamadun akal dan tamadun negara akan terhenti sebaik sahaja kita berhenti membaca.
Isnin, 22 Februari 2010
HIKAYAT BAHASA MELAYU
Layu sudahkah titisan Austronesia selepas 2000 tahun dari tanah Campa yang subur? Lupa sudahkah 300 juta pewarisnya yang bersebar dari Timur ke Sri Lanka lalu ke Ocenia dan Afrika Selatan ? Luntur sudahkah bahasa Kun Lun, bahasa Dwipantara, bahasa Malaiyur-pura?
Tatkala I-Ching beristirahat di Fo-Syih di kota Sriwijaya, bahasa Melayu itu bahasa dagang-ilmu-agama, bahasa hayat warga kosmopolitan. Tatkala Raja Portugal melanggari alam Melayu, terhampar warkah Sultan Ternate yang masih tersimpan rapi. Tatkala Ibu Battutah bermusafir di Kailu Kari bahasa itu cukup tampan.
II.
Bahasa Melayu itu inti akidah-persuratan-tamadun, bahasa bicara seluruh alam Melayu. Bahasa Melayu itu lingua fraca yang ditelaah tetamu Cina, India, Arab, Farsi, Portugal, Itali, Belanda, Inggeris, Peranchis dan Sepanyol. Bahasa Melayu itu mengemudi Islam sebaris bahasa Arab, Farsi, Turki, Inggeris dan Hindi. Bahasa Melayu itu bahasa kerajaan dari Patani ke Singapura, dari Borneo ke Filipina Selatan, dari Kalimantan ke Banjarmasin. Bahasa Melayu itu membuahkan Aqa’id Al-Nasafi warisan manuskrip tersohor Melayu yang tercatat dengan tinta. Lalu tidak cukup bukalah Sabil al-Muhtadin , Furu’ al-Masa’il, Siyar al-Salikin dan Hidayat al-Salikin.
Tatkala bahtera dari Atas Angin berbondongan di Selat Melaka, tamadun Melayu mewarnai tanah Aceh. Butir-butir permata Hamzah Fansuri menjadi minda Iskandar Muda Mahkota Alam. Dari Burung Pungguk ke Burung Pingai, dari Syair Dagang ke Syair Faqir lalu berbicaralah Wahdatul Wujud. Terangkat tinggi sfera kesempurnaan rohani bagai dikata Branguicky. Bertempiknya Nuruddin al-Raniri dengan polemik maha dahsyat bangsa Melayu.
Lalu benarkah Homerus dengan Odysseusnya lebih gah daripada Tun Sri Lanang dengan Sulalatus Salatinnya? Lalu benarkah Hikayat Hang Tuah tidak sekufu Hamlet? Diangkat Francois Valentijn bahasa Melayu yang segah bahasa Latin dan bahasa Peranchis.
III.
Lupakah kita jiwa Melayu subur dengan tinta Syed Syikh Ahmad al-Hadi, Syeikh Muhammad Tahir al-Falaki, Abdul Rahim Kajai, Za’ba, Pak Sako, Harun Aminurrashid? Lupakah kita baja yang kita sirami di Pejabat Karang Mengarang? Lupakah kita keringat dan darah Pujangga Baru-Angkatan 45-ASAS 50?
Lalu Sumpah Pemuda 1928 melahirkan sebuah negara Melayu di seberang. Lalu disambut dengan Keranda 152 pendokong bahasa Melayu yang menitiskan Api dan Air Mata di Balai Budaya muafakat menolak memadukan bahasa Melayu.
IV
Sesudah kita junjung bahasa ini dengan ceraian 160 di medan Parlimen; sesudah kita ikrarkan bahasa ini bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pemersatu; sesudah kita bina sejuta kosa kata ilmu; sesudah kita bangunkan sebuah menara gading dengan muatannya hanya bahasa Melayu; sesudah kita tamadunkan bangsa dengan bahasa ini; sesudah kita rafakkan bahasa kita sebagai bahasa supra, bahasa akliah, bahasa ontologi-epistemologi-aksiologi; sesudah kita lontar jauh-jauh jiwa sekularisme:
lalu datang memanda Bendahara dengan sebatang pena, lalu bertitah bahawa demi berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, ilmu akliah dan ilmu hitung itu bukan lagi berlaraskan bahasa Melayu. Lalu kita sama-sama mahu menoktahkan keajaiban bahasa pribumi ini.
Bahasa Melayu: adakah hanya sebuah hikayat?
Jumaat, 8 Januari 2010
Adakah Tuhan Islam dan Tuhan Nasrani Itu Berbeza?
Apabila disebut Allah kepada orang Islam seperti dalam firman-Nya, surah al-Ikhlas yang bermaksud. “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tidak beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tiada ada sesiapa yang setara dengan-Nya.” Sesungguhnya ‘Allah’ membawa pengertian tauhid yang menjadi sempadan akidah orang Mukmin.
Sementara kepada orang Nasrani, konsep ‘God’ atau ‘Lord”yang kini diterjemahkan sebagai ‘Allah’ memberikan pengertian kepercayaan yang berbeza. ‘God’ Nasrani berdasarkan konsep ‘trinity’ iaitu ‘God the father, God the son dan God the ghost (roh-roh kudus). Maka apabila disebut ‘Allah’ maka pengertian semantik dan sempadan makna kepada penganut Islam dan Nasrani adalah berbeza. Sebagai contoh mudah kalau dalam satu sekolah disebutkan ‘Allah Pencipta alam ini’ maka kepada kanak-kanak Islam yang dimaksudkan adalah Allah yang Maha Esa (yang tunggal) sementara kepada kanak-kanak Nasrani merujuk kepada konsep ‘trinity’ itu.
Bertolak daripada pegangan yang berbeza itu, sejauh manakah kewajaran perkataan Allah digunakan oleh penganut Nasrani? Istilah Allah sebenarnya bukan digunakan oleh seluruh penganut Nasrani di seluruh dunia, tetapi tidak juga bermaksud tidak digunakan langsung. Dalam konteks Malaysia, pada waktu bahasa Melayu adalah bahasa komunikasi terutamanya di Sabah dan Sarawak, maka Allah telah digunakan oleh penganut Nasrani di sana. Sama ada wajar atau tidak, Allah telah digunakan oleh penganut Nasrani walaupun tidak meluas, apatah lagi Nasrani adalah juga agama Samawi.
Kegusaran orang Mukmin adalah sejauh mana kesan jangka masa panjang dengan keizinan kepada penganut Nasrani untuk menggunakan kata ‘Allah’? Sememangnya kalau keputusan mahkamah itu menjadi lesen untuk menggunakan kata Allah secara menyeluruh maka kelak akan menimbulkan salah faham yang lebih terbuka antara penganut Islam dan Nasrani. Pada masa yang sama juga adalah sesuatu yang tidak adil untuk menghalang mereka daripada merujuk ‘Tuhan’ sebagai Allah.
Agama adalah sesuatu yang amat sensitif, apatah lagi dalam negara Malaysia yang penganut Islamnya hanya kira-kira 60%. Pada waktu kita berpegang kepada kepercayaan Tauhid bahawa ‘Allah’ itu Esa, kita harus berhati-hati apabila berbicara dan bertindak dalam menangani isu ini. Pada waktu kita mempertahankan agama, akidah dan kepercayaan kita, kita juga perlu berhati-hati jangan sampai kita menyentuh hak beragama penganut lain. Biarlah hal ini ditanggani secara bijaksana bukan melalui konfrantasi mahupun demonstrasi.
Isnin, 23 November 2009
Mencari Nurani di Hamparan Oasis
berhamparkan oasis destinasi para pengembala
berputik tumbuh buah padi dari celah-celah batu
berlagu seruling mengalunkan pucuk putik beras
bersama kendungan buah pena yang dijaja
bersulam gadis jilbab pembawa hayat anak yatim
berpasak bumi mujahadat-mujahidin buluh runcing
bumi ini sungguh lumayan dengan zat Allah
hati nurani itu terdakap di tanah keraton
sentuhan al-lawwammah subur megah disua
cair senyuman Zulaikha yang sarat rahsia
masih kutemui tajalli di bumi ranum ini
seluhur fana tetamu di bumi Baitullah
betapa ar-Rabb’ terus hidup di oasis ini
waktu fakir pacal masih tercari-cari takhalli yang hilang
pengemis itu sudah lama menemui mujahadah al-nafs
waktu Adawiyyah bermimpi dengan kekasih-Nya
Socrates itu semakin luntur makrifat-ubudiyyah
7 November 2009
(Mingguan Malaysia, 22 November 2009)
Khamis, 30 Julai 2009
Nafas Baru Penerbit Buku Melayu
Penulis ingin menyingkap sejarah Kumpulan Karangkraf kerana dua hal. Pertamanya penulis merasakan bahawa orang Melayu boleh banyak belajar daripada Datuk Husamuddin Yaacub, bagaimana anak Muda yang baru keluar dari universiti, mampu membangunkan sebuah klogomorat Melayu dalam bidang penerbitan dan percetakan. Keduanya, tanpa lupa kepada sumbangan dalam penerbitan majalah, sumbangan yang turut amat besar adalah penerokaan penerbitan buku-buku Melayu oleh Karangkraf melalui anak syarikatnya Alaf21. Pada waktu buku-buku Melayu agak lesu, Alaf21 telah menerbitkan pelbagai buku Melayu khususnya dalam penerbitan novel. Alaf21 menjadikan novel Melayu pilihan nombor satu pembaca, sehingga novel-novel Alaf21 mampu terjual sehingga 50,000 naskhah malah adakalanya lebih daripada itu.
Kemampuan Alaf21 dalam penerbitan novel ini memberikan impak positif terhadap pasaran novel. Penulis novel Melayu telah mula merasa royalti yang besar malah dilaporkan ada yang menerima sehingga RM 100,000 setahun. Ini telah mendorong lebih banyak penulis baru berkarya lalu Alaf21 berjaya mengetegahkan ramai bakat baru. Kesan yang lebih positif adalah terhadap pasaran buku secara umum. Berjayanya Alaf21 telah membina semangat kepada lebih banyak penerbit malah penulis untuk menjadi menerbitkan novel. Kini sudah bertambah ramai penulis novel, bertambah banyak penerbit novel dan bertambang berkembang perusahaan buku Melayu.
Kalau Kumpulan Karangkraf sinonim dengan Datuk Hj. Husamuddin Yaacub, seorang lagi tokoh buku yang wajar diberikan penghargaan adalah Puan Ainon Muhammad dan PTS Publications. Hari ini apabila bercakap tentang buku, tidak sah tidak bercakap tentang PTS Publications. Bermula sebagai pegawai penyelidik di DBP dan seterusnya penceramah motivasi dan penulis, Ainon Muhammad telah berjaya membangunkan sebuah penerbit buku Melayu yang amat disegani di Malaysia. Pantasnya PTS Publications menerbitkan buku sehingga dapat memintas DBP dalam menerbitkan buku Melayu. Kini dalam masa sebulan kumpulan PTS menerbitkan tidak kurang 50 judul baharu dan ulangcetak dalam pelbagai kategori buku.
Kemampuan PTS menerbitkan pelbagai buku bukan sekadar telah membina kerjaya kepada kumpulan pekerja penerbitan malah telah turut juga melahirkan ramai penulis buku dalam banyak genre buku yang tidak terfikir oleh pembaca sebelumnya. Kemampuan ini juga telah menyebabkan ruang pameran buku-buku Melayu di rangkaian kedai buku semakin terisi. Keupayaan membuka pasaran ini telah turut menjadikan orang Melayu semakin mengunjungi kedai buku dan semakin membaca buku.
Satu lagi hal yang menarik ialah apabila Kumpulan PTS telah membuka lalulintas buku antara Malaysia dan Indonesia. Pada waktu penerbit lain mendapati sukar untuk menembusi pasaran Indonesia, tidak kurang daripada 50 judul buku PTS telah diterbitkan di Indonesia melalui kerjasama dengan penerbit di Indonesia. Kini PTS adalah satu nama besar di kalangan penerbit buku di Indonesia.
Hari ini perusahaan buku di Malaysia semakin segar, tetapi bukan semata-mata kerana dokongan pemerintah. Antara sebab yang merancakkan perusahaan buku Melayu adalah kerana orang Melayu semakin mula membaca. Antara sebab perusahaan buku Melayu ini turut rancak adalah kerana sumbangan dua tokoh yang berani mengubah wajah perusahaan buku itu sendiri iaitu Datuk Husamuddin Yaacub dan Puan Ainon Muhammad.
Jumaat, 17 Julai 2009
ORANG INDONESIA LEBIH PANDAI MEMBACA?
Sebenarnya selain sebagai kota kosmopolitan, kota budaya, kota perdagangan, pelbagai tarikan tentang Jakarta yang boleh diceritakan. Tarikan Jakarta kepada kumpulan yang suka membaca mahupun dalam perusahaan buku adalah tentang pesta buku dan tentang pelbagai buku dalam bahasa Indonesia. Pesta buku yang baru lalu adalah Pesta Buku Jakarta, di samping ada dua lagi pesta buku yang besar di Jakarta ialah Pesta Buku Islam pada awal tahun dan Pesta Buku Indonesia yang lazimnya diadakan pada akhir tahun. Ketiga-tiga pesta buku ini berjaya membawa ramai pengunjung di kota Jakarta ini. Sebagaimana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), pesta-pesta buku di Jakarta sememangnya mendapat sambutan hebat. Walaupun kalau diukur daripada segi saiz, pesta-pesta buku di Jakarta tidak lebih besar daripada PBAKL tetapi pesta buku di sini kelihatan mempunyai tarikan yang kuat dan mendapat dokongan yang lebih besar daripada pemerintah dan media massa.
Cuma pesta-pesta buku di Jakarta mempunyai nilai yang agak berbeza dengan pesta buku di Kuala Lumpur. Secara perbandingan jumlah judul baharu buku yang diterbitkan di Indonesia jauh lebih banyak, jauh lebih pelbagai dan malah dalam beberapa bidang boleh dikatakan lebih baik daripada Malaysia. Kalau dilihat buku-buku agama sahaja, maka pelbagai jenis buku agama untuk pelbagai peringkat umur terbit dengan banyaknya di Indonesia. Kalau dilihat al-Quran pun sahaja, pelbagai bentuk al-Quran sama ada al-Quran bertajwid, al-Quran berwarna, al-Quran audio, al-Quran terjemahan dan tafsiran dalam pelbagai bentuk, pelbagai saiz, untuk pelbagai peringkat umur terbit di Indonesia. Indonesia kelihatan jauh meninggalkan Malaysia dalam penerbitan al-Quran untuk mengisi pelbagai keperluan dan peringkat umur berbanding di Malaysia. Apakah hanya penerbitan al-Quran yang Indonesia mendahului kita? Bukan sahaja al-Quran malah dalam pelbagai kategori buku sama ada ensiklopedia, agama, motivasi, agro, perisian, pemasaran dan banyak lagi mereka sudah jauh ke hadapan dengan penerbitan pelbagai jenis buku dalam pelbagai bidang. Malah inovasi penerbitan buku melalui inovasi percetakan memungkinkan buku-buku Indonesia terbit dengan pelbagai ciri yang pencetak Malaysia masih belum mampu lakukan. Ada rakan penerbit yang mendakwa bahawa Indonesia yang dahulunya ketinggalan 5 tahun daripada Malaysia dalam penerbitan buku, kini telah mendahului Malaysia dalam penerbitan dan pengkaryaan 5 tahun ke hadapan.
Kemajuan pengkaryaan di Indonesia juga mungkin berkait rapat dengan kemajuan pembacaan orang Indonesia. Pada waktu buku di Malaysia yang paling laris adalah novel-novel roman ataupun novel-novel cinta yang boleh terjual sehingga 30,000 naskhah atau mungkin lebih, kini buku yang kerap laris di Indonesia adalah novel-novel yang mempunyai isi, falsafah dan ilmu. Novel-novel seperti Ayat-ayat Cinta, Laskar Pelangi, Ketika Cinta Bertasbih masing-masing telah terjual lebih 500,000 naskhah malah ketiga-tiga novel ini telah difilemkan. Filem Laskar Pelangi sebagai contoh telah memecahkan rekod box-office di Indonesia apabila ditayangkan di pawagam. Novelis seumpama Habiburrahman el Shirazy yang menulis Ayat-ayat Cinta, dan Ketika Cinta Bertasbih mampu menjadi jutawan kerana menulis novel, dan pastinya disusuli oleh Andrea Hirata yang menulis Laskar Pelangi. Malah bagi buku umum jualan 30,000 naskah adalah sesuatu yang lazim.
Walaupun suasana perbukuan di Malaysia semakin sihat, kita seharusnya cemburu dengan kerancakan pengkaryaan, penerbitan dan pembacaan di Malaysia. Malah pada hari ini semakin banyak buku Indonesia yang terbit semula di Malaysia dalam bahasa Melayu. Pada hari ini penerbit buku di Malaysia, penulis di Malaysia, pencetak buku di Malaysia, semakin perlu belajar daripada rakan di Indonesia.