Sabtu, 15 September 2012

Bayu Laut dari Sangkabok


Bayu laut ini dalam tusuknya,  intim bersama persisir Sangkabok.
Lumpurnya  membenihi kerang dan anak lokan, yang menjadi rezeki bila cukup matang.
Gurau sapa ombak dingin, bersama lumpur kotor teman bayu, adalah laman tawa-
tangis anak-anak  berkaki ayam.
Lautan hayat yang kerap menyapa adalah lopak madu yang mengurati nostaligia ayah-ibu.
Bercanda-duduk-santai asyikkan pantai terhidu harum-nikmat kasturi   tanah Labuan
yang  sayup-sayup dipandang

Lautan Cina teman Sangkabok-Teluk Penyu-Membakut itu bukan sentiasa ramah.
Waktu-waktunya tamu dibuai mesra dengan perahu mendak  muatan.
 Cuma lautan nikmat itu berselang tenang-pasang-gelora-kencang.
Berselang antara menolak-menyimpan perahu, atau melambung-lambung perahu yang
ingkar, lalu menjamu nelayan degil sebagai santapan warga lautan yang ditangkap-
makan.
Berselanglah yang akur mengalas isi rumah dengan celupan sisa laut  dalam air masak. 
Nanti apabila laut kembali ramah berupaya menjinjit  padi dari Beaufort.

Waktu Dayang disuakan baju sisa anak-anakku, yang  terasa mual di tubuh, lalu disisih
dalam kotak di bawah katil; kagum- kaget-senang, diterima-dilipat-disimpan.
Lebaran yang jauh  nanti anak-anaknya berbaju bersih walau tidak sebaharu baju anak-
anakku yang dipilih  tanpa tunai  dari  gedung rebutan kota
 Cuma tiada titisan air mata sebagaimana genangan air mata anak-anakku jika pakaian
Lebarannya tidak cukup untuk seminggu.

Padang bergenang di hadapan sekolah kayu-lesu berjirankan pondok hidup itu masih
lumayan, berupaya berlari bogel badan ataupun berbaju basahan yang wajar menjadi 
kain lapan ketika kenduri. 
Padang itu juga merumahi sukan tahunan sekolah yang dinanti anak-anak, disenangi
seisi desa,  hatta hadiah juara larian hanya tiga keping wang seringgit.
Anak-anak masih girang mentelaah,  berbaju-berkasutkan satu Malaysia, waktu ayah
bungkam membilang yuran sekolah dua puluh dua ringgit setahun.
Anak-anak itu  penuh tawa kalau dibeli umi baharu kuih dua puluh sen- sebiji gula-gula
– sekeping biskut kelapa.

Jejakku langsung tidak ada bekasnya.
Jejakku bagai musafir yang menjengah saudaraku, menawar kancing baju di Pasar
Filipina, termanggu dalam feri di Menumbok, sambil menghitung-hitung gedung bebas
cukai di Labuan.
Jejak anak-anakku, untuk mengisi jadual cuti dengan biaya terbang murah yang
lumayan, yang berupaya  menampung hidup mereka sebulan.
Jejak kami menikmati ikan putih-ketam raja-udang kara yang mereka di sini lebih rela
ditukar-ganti dengan sekampit beras.
Jejak saudaraku yang melangkah dari seberang  dengan penuh parut dan becak luka
anak-anak, cuba mencari sinar dari laut Sangkabok ini, yang senang berumikan anak-
anak baharu
Jejakku bukan jejak-jejak anak Sangkabok.

Selasa, 15 Mac 2011

Yang Dikatakan Gadis Ini


Aku tahu sesungguhnya

Aku bukanlah Siti Khadijah isteri Rasulullah

Umul mukminin hartawan budiman

Yang mendamparkan seluruh jiwa-harta demi agama

Aku tahu sesungguhnya

Aku bukanlah Rabiahtul Adawiyah wanita sufi

Yang membuang segala kesenangan dunia

Demi mahabbah cinta agung kepada Illahi

Aku tahu sesungguhnya

Aku bukanlah Tun Fatimah Srikandi Melaka

Yang menghunus keris menentang Peringgi

Pintar mengatur pahlawan Melaka di laut dan darat

Aku tahu sesungguhnya

Aku bukan Laila kekasih Majnun

Yang memberikan setiap nafas cinta untuk kekasihnya

Demi kesetiaan sanggup mati bersama


Teringin sesungguhnya aku

Menghirup semangat Siti Khadijah

Memberikan segala-galanya demi Islam

Teringin sesungguhnya aku

Menjejaki langkah-langkah Rabiatul Adawiyah

Menjunjung cinta kepada Allah setinggi Everest

Teringin sesungguhnya aku

Menyelam waja diri Tun Fatimah

Berdiri paling hadapan menentang petualang negara

Teringin sesungguhnya aku

Menghirup jiwa ehsan Laila

Memberikan seluruh kasih untuk seseorang


Gadis-gadis kecil ini

Hanyalah anak-anak yang meniti tangga menara gading

Sebagai isi minda, jiwa dan naluri

Demi harapan ayah bonda dan masa depan

Gadis-gadis desa ini

Yang tegar-perit di padang kawat

Berlumba lari bersama badang perkasa

Hatta kudrat-kelibatnya jauh terbatas

Gadis-gadis kota ini

Maqam jiwanya halus, suci dan harum

Mampu menyerap cinta sebersih salju

Yang mendokong kasih sehingga abadi

Gadis-gadis bakal siswazah ini

Adalah insan istimewa anugerah Allah

Yang rela ke hadapan demi agama, bangsa dan negara

Yang rela mengoncang buaian demi anak dan keluarga

* dedikasi untuk anak-anak gadis di menara gading sempena hari wanita

Sabtu, 12 Mac 2011

Bicara Bersama al-Mubaraq


Sudah acap-acap kali
hadir seperti lazimnya tidak terzahir
indah-anggun bagai bidadari lena
beban sarat dengan manikam
dijaja dari Adam ke qalam
muatannya terus melimpah
usahkan susut usahkan kontang
hanya satu kali terjadi
salam Israel tanpa baraqah
hadir yang terakhir bagi pertama

(antologi puisi: Gema Membelah Gema ~ sempena Hari Puisi Nasional ke-18)

Selasa, 22 Februari 2011

Mahasiswa: Label ‘Pro-Mahasiswa’ atau ‘Pro-Aspirasi’?


Media hari ini, sama ada media bercetak mahupun media atas talian, ghairah melaporkan pilihan raya memilih Majlis Perwakilan Pelajar di universiti-univeristi awam. Laporan terkini sehingga 22 Februari 2011, dikatakan dengan kumpulan Pro-M dikatakan menguasai UM dan UKM sementara kumpulan Pro-Aspirasi dikatakan menguasai UPM, USM dan UTM. Penulis semenjak dahulu lagi terasa kurang selesa dengan label yang diberikan kepada kumpulan pelajar ini.

Apakah yang dimaksudkan dengan label-label ini? Pro-M diasosiasikan dengan sikap anti-establishment sementara Pro-Aspirasi dikatakan lebih cenderung menyokong dasar-dasar kerajaan. Mungkin juga label ini diberikan kerana kecendurungan kumpulan pelajar terhadap bersetuju atau tidak dengan dasar-dasar establishment ataupun mungkin juga berdasarkan sejarah kumpulan yang sebelum ini mempunyai asosiasi dengan kepimpinan politik tertentu. Apa juga latar belakang yang membina cop dan label ini sesungguhnya pelabelan ini memberikan impak negatif terhadap kumpulan pelajar yang sedang dididik sebagai bakal kepimpinan negara masa hadapan.

Institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta adalah ibarat ketuhar yang apabila dibuka akan mengeluarkan kek yang harum dan enak dimakan. Ilmu yang dijana sama ada di bilik kuliah mahupun melalui aktiviti ko-kurikulum akan menambahbaikkan ramuan ke arah melahirkan hidangan terbaik. Sesungguhnya politik di kampus bukan sesuatu yang mencacatkan perjalanan untuk melahirkan produk yang baik malah politik kampus berupaya menambahbaikkan kematangan pelajar. Berpolitik di kampus, memilih dan terpilih untuk menjadi pemimpin lalu seterusnya memimpin pelajar di kampus melatih pelajar untuk peka terhadap hal persekitaran kampus juga hal-hal di luar kampus. Pelajar akan belajar cara dan kaedah berpolitik yang berhemah dalam kampus lalu seterusnya bersama-sama menanggani isu dan hal-hal semasa dalam kampus universiti. Lalu mereka juga akan dan perlu peka terhadap hal-hal di luar kampus agar mereka mengetahui apa yang berlaku di luar baik dalam negara mahupun luar negara.

Pada peringkat ini, mahasiswa tidak memerlukan pautan atau asosiasi politik dengan mana-mana parti politik, tanpa mengenetipikan hak mereka untuk mengenal malah mengundang ahli politik untuk memberikan pandangan di universiti. Cuma itu harus dilakukan dengan fikiran terbuka bahawa pandangan ahli politik itu mahu didengar bukan kerana asosiasi dengan sesuatu parti politik. Undangan itu harus adil tanpa kecenderungan kepada mana-mana paksi politik negara. Mengapa? Pada peringkat ini biarlah mahasiswa dilatih untuk berfikir secara rasional, mematangkan diri, membina siasah politiknya sendiri dan nanti apabila mereka sudah menggenggam ijazah terpulanglah kepada mereka kalau mahu berijtihad dengan mana-mana parti politik.

Mengapa Pro-M dan Pro-Aspirasi? Di luar universiti sudah cukup besar peperangan politik antara dua paksi politik sehingga berpolitik menjadi aktiviti harian sepanjang tahun. Politik di Malaysia tidak tamat selepas sesuatu pilihan raya umum. Politik di Malaysia berturutan dari satu pilihan raya umum ke pilihan raya umum berikutnya dengan pilihan raya kecil umpama perang-perang kecil menjelang pilihan raya umum berikutnya. Sehingga kadangkala pemimpin politik tidak dapat membezakan antara peranan sebagai ahli politik dengan tugas sebagai pemimpin negeri dan negara. Sementara mahasiswa di universiti mempunyai dua amanah besar, iaitu amanah ayah ibu yang mahupun mereka menggulung ijazah dan amanah untuk sama-sama memimpin rakan sebaya mereka di universiti. Dua amanah ini sudah cukup besar tanpa memerlukan mereka terlibat secara langsung dengan politik negara. Hatta sesungguhnya, ini tidak sama sekali untuk menghalang mereka memberikan pandangan positif tentang hal-hal dasar dan keperihatinan terhadap politik negara, walaupun kadangkala pandangan itu tidak menyenangkan pemerintah. Cuma mahasiswa perlu belajar memberikan pandangan secara objektif sesuai dengan nuasa mereka yang berilmu.

Sekali lagi, mengapa Pro-M dan Pro-Aspirasi? Penulis mengira mahasiswa sendiri kurang senang dengan label ini. Mahasiswa bertanding dalam pilihan raya kampus untuk memilih kepimpinan di kalangan mereka di universiti, yang mana mereka belajar untuk menjadi pemimpin. Tidak ada label atau cop di dahi mana-mana pelajar sama ada Pro-M mahupun Pro-Aspirasi. Malah hasrat mereka di universiti jauh lebih murni kerana memilih wakil untuk menduduki MPP di universiti tidaklah seumpama memimpin parti politik negara yang habuannya jauh lebih lumayan. Apakah langkah seterusnya? Pertama, media sendiri harus berhenti memberikan label kepada mahasiswa. Keduanya, mahasiswa sendiri harus menentang dan membantah pelabelan ini, dan memimpinlah dengan penuh iltizam ilmu tanpa kecendurungan dengan mana-mana parti politik.

Ahad, 20 Februari 2011

'Pluralisme' yang Mengancam Islam


Mungkin ramai yang masih asing dengan istilah 'pluralisme' cuma di kalangan cendekiawan Muslim istilah ini tidak lagi asing. Malah pada 14 Disember 2010 telah dianjurkan wacana 'Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan' di Masjid Wilayah Persekutuan, dengan antara pembentang kertas kerja adalah Dr.Yusri Mohamad mantan presiden ABIM ke-6, Dr.Muhammad Uthman El-Muhammady dan ramai lagi ilmuan Islam tempatan.

Tiga perkara diputuskan dalam wacana itu iaitu; Pertama, pihak berkuasa Agama di semua peringkat di Malaysia, wajar memantau Gerakan Pluralisme Agama ini dan mengambil langkah mencegah dengan apa cara sekali pun.

Kedua, pihak berkuasa Agama wajar memanggil individu atau Jawatankuasa Organisasi yang menganut faham Pluralisme Agama ini, untuk diberi kaunseling, nasihat dan ajaran mengenai ‘Aqidah Islam yang sebenar.

Dan ketiga, pihak berkuasa Agama yang boleh memboleh memberi fatwa, iaitu majlis fatwa (peringkat Kebangsaan dan negeri-negeri) supaya segera memberi fatwa yang lebih jelas mengenai faham atau ideologi pluralisme agama.

Ringkasnya mempercayai, menyetujui, mempertahankan dan meredai Pluralisme hukumnya haram. Pada waktu kita tidak menghalang penganut agama lain untuk berpegang kepada kepercayaan lain, ijtihad, pegangan dan kepercayaan kita hanyalah bahawa Allah itu Esa, Muhammad itu Rasulnya dan tidak ada agama tauhid di muka buminya selain Islam, tidak ada agama setara Islam.


Subhanallah. Laila' ha'ilalallah!

Selasa, 8 Februari 2011

Bicara bersama al-Mubaraq


Sudah acap-acap kali

hadir seperti lazimnya tidak terzahir

indah-anggun bagai bidadari lena

beban sarat dengan manikam

dijaja dari Adam ke qalam

muatannya terus-terus melimpah

usahkan susut usahkan kontang

hanya satu kali terjadi

salam Israel tanpa barakah

hadir yang terakhir bagi pertama

Sabtu, 5 Februari 2011

Mesir yang Bergolak, Bagaimana Adik-adik Kita?

Mesir bergolak, rakyat menuntut perletakan jawatan presidennya. Rasanya keadaan akan semakin genting dalam beberapa hari akan datang. Kerajaan Malaysia telah mengerahkan tenaga, hubungan, dan pelbagai usaha untuk membawa kira-kira 11,000 rakyat Malaysia pulang.

Ketika keadaan genting, bukanlah mudah untuk membawa rakyat kita pulang dengan segera. Hubungan kerajaan dengan kerajaan masih perlu dijaga. Justeru adalah langkah kurang bijak beberapa parti politik berdemonstrasi untuk menyuarakan sokongan terhadap rakyat Mesir. Mengapa?

1. Masih ramai rakyat kita di Mesir. Apa akan terjadi kalau kerajaan Mesir mempersusahkan usaha membawa keluar rakyat kita?
2. Bagaimana kalau parti yg berdemo itu berkuasa dan Presiden Hosni atau sekutunya terus berkuasa? Adakah akan berlaku permusuhan antara Malaysia dan Mesir.

Ingatlah bahawa di Mesir itu adalah anak-anak kita termasuk keluarga mereka yang berdemo.

Khamis, 27 Januari 2011

Masih Lagi Tentang INTERLOK


Sudah cukup banyak bicara ttg Interlok. Sudah cukup mewah wacana ttg Interlok. Hasilnya masih Interlok tetap elok. Cuma teman-teman (jika boleh dikatakan teman) di sana, masih mau Interlok digugurkan, kerana tabu dengan kosa kata 'p'. 'p' itu sesuatu yang mau dilupakan. 'p' itu sejarah silam, sejarah pahit, yg harus dibuang jauh-jauh.

Mengapa kita masih cuak dengan sejarah? Bukankah sejarah harus menjadi guru kita? Yang pahit itu yang akan mengajari kita mencari kemanisan.
Lalu apa pilihan kita? Tunduk kepada politikus yang kurang cerdik?
Mungkinkah yang sebegini opsyen kita:
1) Semua kosa kata 'p' itu tampal dengan kertas. (kerah anak-anak di sekolah menampal buku masing-masih), atau
2) Semua kosa kata 'p' itu kita 'stabilokan' dengan warna kesukaan masing-masing, atau
3) Semua kosa kata 'p' itu kita gantikan dengan kosa kata 'b', yang bermaksud 'bangsawan'.

Adakah ini menjadikan kita semakin cerdik dan semakin 1Malaysia?

Ahad, 23 Januari 2011

Yang Difirmankan


Yang difirmankan Allah:

dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya,

engkau melihat bumi ini kering dan tandus,

maka apabila Kami menurunkan hujan ke atasnya,

nescaya berubah dan subur dengan tumbuh-tumbuhan

sesungguhnya Allah Yang Menghidupkannya,

sudah tentu berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati.

sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

Al-Fussilat, 39


Yang dizahirkan anak Adam:

lantas menyelerakkan hutan batu di serata bumi Allah

lantas menumbuhkan kota-kota atas pandang kontang

lantas mencipta tamadun yang menjadi pasak dan menggegarkan bumi

lantas membina jirim yang berupaya menyahkan suatu bangsa

lantas menerobohi angkasa untuk menguasai seluruh alam

lantas mengatur-atur peta alamiah sebagai genggaman tangan

lantas menyuburkan bumi bukan hanya dengan kesejahteraan

semakin gah semakin anak Adam alpa:

~ alpa terhadap nikmat ar-Rab

~ alpa terhadap perintah ar-Rab

~alpa terhadap larangan ar-Rab

lalu kita bina kubah-kubah bertahta zamrud tanpa penghuni

lalu kita ukir lembaran emas qalam-Nya untuk tontonan

lalu kita sedut emas-emas hitam menjadi armada

lalu kita jadikan Baitulmuqaddis sebagai muzium perang

lalu kita jadikan Badar sebagai sejarah Muhajirin

lalu kita tebarkan pengucap dua kalimah di ceruk-ceruk alam

lalu kita redakan Sungai Tigris dilimpahi merah-darah

lalu kita sorakkan bumi kontang Kabul dibedil-berai

lalu kita terus-terus izinkan bumi Palestin dikikis-toreh


Yang difirmankan Allah:

siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi

dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu?

lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu

kebun-kebun yang indah pemandangannya,

yang kamu tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya.

~Al-Naml, 60


Yang dizahirkan anak Adam :

adalah tamadun di atas kemusnahan di bumi nusa ini:

atas nama tamadun anak-anak padi menjadi anak-anak cerucuk

atas nama tamadun hutan nikmat menjadi dataran pepejal

atas nama tamadun lautan mewah menjadi hamparan tanah

atas nama tamadun tasik-paya menjadi tapak buangan

atas nama tamadun desa-kampung menjadi lubang hayunan

atas nama tamadun wilayah margas menjadi wilayah taruhan

atas nama tamadun bukit-gunung menjadi menara pancaran


Yang difirmankan Allah:

Telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut

dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia

timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan kepada mereka

sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang telah dilakukan,

supaya mereka kembali insaf dan bertaubat

Al-Rum, 41

Wahai anak-anak Adam

Mengapakah kamu rosakkan bumi Allah ini?

Selasa, 31 Ogos 2010

Hilangnya kewarasan kerana politik surau?


Kira-kira seminggu lebih menjelang ulang tahun kemerdekaan yang ke-53, satu isu yang turut mendominasi politik nasional adalah kehadiran seorang Ahli Parlimen dari DAP ke sebuah surau untuk memberikan sumbangan. Teo Nie Ching telah mengunjungi Surau Al Huda, menyampaikan sumbangan dan memberikan sedikit ucapan di ruang solat surau tersebut.

Terhasil dua pandangan yang bertentangan, satu pihak mengecam beliau sepenuhnya, sehingga timbul satu usul oleh badan bukan kerajaan agar diluluskan satu akta/ekenmen supaya orang bukan Muslim dilarang ke masjid dan surau. Satu pihak lagi menyokong beliau seratus-peratus. Polimik, perbicaraan malah perbalahan di media sesungguhnya sesuatu yang subur selagi dilakukan berasaskan sifat ilmiah dan objektif, bukan sokongan dan kecaman atas dasar politik semata-mata.

Penulis berpendapat bahawa ada 3 premises apabila membicarakan tindakan Ahli Parlimen tersebut iaitu dari segi hukumnya, dari segi tatacara lawatan dan dari segi peraturan negeri. Pertamanya adakah salah seorang bukan Islam mengunjungi surau mahupun masjid. Hukum Islam tidak sekali-kali melarang bukan Islam untuk mengunjungi surau dan masjid. Malah mungkin ini boleh menjadi pendekatan dakwah baru, walaupun sesungguhnya ini bukan pendekatan baru, orang Islam terhadap bukan Islam agar lebih mengenali dan lebih memahami pemikiran dan perasaan orang Islam. Alangkah elok indahnya, kalau orang umpama Obama, presiden Amerika Syarikat, mahupun orang kuatnya Clinton mengunjungi mana-mana masjid. Biarlah mereka tahu bahawa Islam adalah agama kesejahteraan.

Premises yang kedua adalah tatacara kunjungan ke surau dan masjid. Sesiapa sahaja hatta lelaki mahupun wanita tentulah harus tahu bahawa apabila memasuki ruang masjid seharusnya menutup aurat, walaupun pada waktu-waktu lain teralpa untuk menutup aurat. Begitu juga wanita bukan Islam apabila memasuki ruang masjid. Tatacara yang tidak bertulis juga termasuklah ruang di mana bagi bukan Islam boleh masuk. Ada banyak ruang di masjid sama ada di beranda, di dewan (jika ada) dan sebagainya cuma memilih ruang solat berhadapan dengan mimbar untuk menyampaikan sumbangan dan seterusnya memberikan ucapan adalah tidak kena dengan tatacaranya.

Yang ketiga adalah peraturan negeri yang telah diwartakan. Kebanyakan negeri telah membuat enekmen atau paling-paling peraturan bagi ahli-ahli politik untuk mengunjungi mana-mana masjid dan negeri. Peraturan ini dilakukan agar institusi keagamaan tidak disalahgunakan untuk tujuan politik, supaya apabila menjejaki surau dan masjid orang-orang Islam tidak berbalah, hatta kita kerap berbalah sehingga hampir-hampir merenggangkan tali silaturrahim di luar sana. Apatah lagi jika yang dijemput akan memberikan tazkirah, hatta ucapan yang tidak bersifat politik. Kehadiran Ahli Politik, walaupun bertujuan baik, walaupun tidak bercakap tentang politik, boleh dianggap sebagai menyanggah peraturan yang telah ditetapkan. Jika jabatan agama dirujuk dari awal-awal , mungkin ada nasihat tentang peraturan yang perlu dipatuhi.

Kadangkala dan kerapkala kita polimikkan sesuatu semata-mata atas sentimen kepartian, sehingga kita lupa untuk berani berbeza demi kebenaran yang hak. Kita harus menjadi lebih cerdik dan matang dalam membahaskan sesuatu isu akan perbicaraan itu tidak terkeluar dari norma-norma kebenaran. Malaysia hari ini meraikan ulangtahun kemerdekaan yang ke-53, lalu seharusnya kita sudah semakin matang demi perpaduan, demi kesejahteraan demi masa depan umat Islam negara ini. Kita mungkin berbeza daripada segi pemikiran, pandangan mahupun pegangan politik tetap tidak seharusnya berbeza dalam mempertahankan sebuah negara kita, satu-satunya negara yang kita ada. Ke manakah mahu kita lari jika negara kita terpelit dalam kancah perang seperti Bosnia Herzegovina dahulu?