Selasa, 18 November 2008

Buku: Intelektual vs Komersial

Penerbitan Buku: Tuntutan Intelektual atau Tarikah Komersial

Buku membina intelektual. Cuma buku bukan satu-satu medium pembinaan intelektualisme. Pembinaan keintelektual turut disumbangkan oleh sistem pendidikan, persekitaran, media massa baik bercetak mahupun elektronik, malah internet adalah antara penyumbang kepada pembentukan intelektualisme bangsa.

Media terutamanya mempunyai pengaruh dan kesan yang kuat banyak menyiarkan program ( kerana atas desakan perdagangan) program yang tidak membina minda seperti gosip (rumah tangga artis, artis kahwin dan artis cerai), hiburan, kisah hantu saka dll.

Perniagaan buku itu sendiri memerlukan daya intelektual, daya kreativiti malah daya pertimbangan perdagangan. Pertimbangan kandungan buku, pendekatan penulisan, wajah buku, pengolahan dan pengguna bahasa adalah pertimbangan intelektual walaupun pertimbangan ini yang bersekali dengan pendekatan harga dan strategi pemasaran adalah pendekatan dan tuntutan komersial.

Suasana perbukuan yang subur dan sihat (dengan rakyatnya celik baca, ekonomi yang segar) akan dengan sendirinya mendorong penerbitan buku dalam pelbagai bidang (termasuklah buku-buku yang sifatnya mengisi intelektualisme). Ini kerana pasaran yang merupakan faktor komersial memberikan ruang kepada vakum pembacaan yang perlu diisi dengan pelbagai bahan bacaan. Beberapa penerbit buku tempatan telah membuktikan peranan mereka dalam hal ini.

Penerbit swasta sememangnya bermula dengan matlamat perdagangan, cuma penerbit yang bertanggungjawab bukan sahaja menerbitkan buku-buku berasaskan sekolah (ulangkaji, penduan peperiksaan), novel cinta, kisah sensasi dan seumpamanya juga tetapi buku-buku yang dapat merangsang minda dan membentuk keintelektual dari peringkat rendah sehinggalah ke universiti.

Beberapa dasar pemerintah berkaitan perusahaan buku tidak membantu penerbitan buku-buku yang baik, seperti:
~Tidak usaha yang bersungguh-sungguh untuk menggalakkan rakyat membaca dan membentuk budaya ilmu;
~Peruntukan buku sering dinafikan apabila berlaku kegawatan ekonomi malah dalam ekonomi yang sihat pun tidak semua jabatan/kementerian mempunyai peruntukan membeli buku.
~Dasar buku hanyalah kitab lama. Dasar Buku Negara yang diluluskan pada tahun 1985 dan langkah bertindak diluluskan Jemaah Menteri pada tahun 1988 tidak dilaksanakan. Penilaian semula yang telah dibuat dan merumuskan beberapa tindakan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) pada tahun 2005, tetapi cadangan dan formula ini sekadar tertinggal dalam fail-fail di pejabat MBKM.
~Pemilihan buku untuk tender di pelbagai kementerian dan agensi mengutamakan buku-buku yang berharga murah dan pendekatan pemilihan yang sama.

Pandangan yang diberikan semasa Majlis Wacana Intelektual di DBP pada 17 November
2008, jam 8.30 malam.