Selasa, 31 Ogos 2010

Hilangnya kewarasan kerana politik surau?


Kira-kira seminggu lebih menjelang ulang tahun kemerdekaan yang ke-53, satu isu yang turut mendominasi politik nasional adalah kehadiran seorang Ahli Parlimen dari DAP ke sebuah surau untuk memberikan sumbangan. Teo Nie Ching telah mengunjungi Surau Al Huda, menyampaikan sumbangan dan memberikan sedikit ucapan di ruang solat surau tersebut.

Terhasil dua pandangan yang bertentangan, satu pihak mengecam beliau sepenuhnya, sehingga timbul satu usul oleh badan bukan kerajaan agar diluluskan satu akta/ekenmen supaya orang bukan Muslim dilarang ke masjid dan surau. Satu pihak lagi menyokong beliau seratus-peratus. Polimik, perbicaraan malah perbalahan di media sesungguhnya sesuatu yang subur selagi dilakukan berasaskan sifat ilmiah dan objektif, bukan sokongan dan kecaman atas dasar politik semata-mata.

Penulis berpendapat bahawa ada 3 premises apabila membicarakan tindakan Ahli Parlimen tersebut iaitu dari segi hukumnya, dari segi tatacara lawatan dan dari segi peraturan negeri. Pertamanya adakah salah seorang bukan Islam mengunjungi surau mahupun masjid. Hukum Islam tidak sekali-kali melarang bukan Islam untuk mengunjungi surau dan masjid. Malah mungkin ini boleh menjadi pendekatan dakwah baru, walaupun sesungguhnya ini bukan pendekatan baru, orang Islam terhadap bukan Islam agar lebih mengenali dan lebih memahami pemikiran dan perasaan orang Islam. Alangkah elok indahnya, kalau orang umpama Obama, presiden Amerika Syarikat, mahupun orang kuatnya Clinton mengunjungi mana-mana masjid. Biarlah mereka tahu bahawa Islam adalah agama kesejahteraan.

Premises yang kedua adalah tatacara kunjungan ke surau dan masjid. Sesiapa sahaja hatta lelaki mahupun wanita tentulah harus tahu bahawa apabila memasuki ruang masjid seharusnya menutup aurat, walaupun pada waktu-waktu lain teralpa untuk menutup aurat. Begitu juga wanita bukan Islam apabila memasuki ruang masjid. Tatacara yang tidak bertulis juga termasuklah ruang di mana bagi bukan Islam boleh masuk. Ada banyak ruang di masjid sama ada di beranda, di dewan (jika ada) dan sebagainya cuma memilih ruang solat berhadapan dengan mimbar untuk menyampaikan sumbangan dan seterusnya memberikan ucapan adalah tidak kena dengan tatacaranya.

Yang ketiga adalah peraturan negeri yang telah diwartakan. Kebanyakan negeri telah membuat enekmen atau paling-paling peraturan bagi ahli-ahli politik untuk mengunjungi mana-mana masjid dan negeri. Peraturan ini dilakukan agar institusi keagamaan tidak disalahgunakan untuk tujuan politik, supaya apabila menjejaki surau dan masjid orang-orang Islam tidak berbalah, hatta kita kerap berbalah sehingga hampir-hampir merenggangkan tali silaturrahim di luar sana. Apatah lagi jika yang dijemput akan memberikan tazkirah, hatta ucapan yang tidak bersifat politik. Kehadiran Ahli Politik, walaupun bertujuan baik, walaupun tidak bercakap tentang politik, boleh dianggap sebagai menyanggah peraturan yang telah ditetapkan. Jika jabatan agama dirujuk dari awal-awal , mungkin ada nasihat tentang peraturan yang perlu dipatuhi.

Kadangkala dan kerapkala kita polimikkan sesuatu semata-mata atas sentimen kepartian, sehingga kita lupa untuk berani berbeza demi kebenaran yang hak. Kita harus menjadi lebih cerdik dan matang dalam membahaskan sesuatu isu akan perbicaraan itu tidak terkeluar dari norma-norma kebenaran. Malaysia hari ini meraikan ulangtahun kemerdekaan yang ke-53, lalu seharusnya kita sudah semakin matang demi perpaduan, demi kesejahteraan demi masa depan umat Islam negara ini. Kita mungkin berbeza daripada segi pemikiran, pandangan mahupun pegangan politik tetap tidak seharusnya berbeza dalam mempertahankan sebuah negara kita, satu-satunya negara yang kita ada. Ke manakah mahu kita lari jika negara kita terpelit dalam kancah perang seperti Bosnia Herzegovina dahulu?

Rabu, 18 Ogos 2010

Bangun Pagi

kring kring

jam loceng berbunyi

hari sudah pagi

pukul enam pagi

kena bangun pagi


kring kring

jam loceng menyanyi

beratnya mata

mengantuknya mata

bukalah mata


kring, kring

ayuh bangun pagi

sekolah sudah menanti

Isnin, 28 Jun 2010

Gerakan Membaca Perdana: Lembaran Baru Kempen Membaca

26 Jun 2010, di Taman Tasik Shah Alam, telah berlangsung suatu sejarah baru dalam kempen membaca, suatu usaha yang digerakkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Kempen membaca dengan sasaran menjadi 'Program Membaca di Luar Bangunan Paling Besar di Malaysia' ini telah berjaya menghimpunkan seramai 14,781 pembaca pada suatu tempat dan suatu masa. Hebatnya kerana program ini disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, umur, jantina, agama dan melepasi jurang pendidikan malah fahaman politik.

Ketika berjalan di sekeliling Taman Tasik itu, kelihatan pelbagai manusia dengan pelbagai jenis buku di tangan, malah organisasi yang secara sengaja membawa buku dan mengagihkan buku itu kepada mereka yang tidak membawa buku atau mahu membaca buku yang lain. Apabila secara rasmi pengiraan dibuat mulai jam 10 pagi, kelihatanlah anak-anak, pelajar universiti, pak cik dan mak cik, datuk dan wan, pak haji, belia India dan Cina, dan pelbagai manusia yang hadir, tekun membaca buku di tangan. Melalui sistem pengiraan yang dipersetujui bersama dengan Malaysian Book of Record, angka yang disahkan secara rasmi adalah 14,781 orang! Inilah rekod baru dan rekod sebeginilah yang harus sentiasa kita lakukan, yang lebih bernilai daripada rekod sate yang paling panjang, barisan yang paling panjang, bendera yang paling besar atau seumpamanya.

Lebih signifiken acara ini telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, yang telah mengelilingi tasik itu dengan bot bagi menyaksikan acara yang amat bermakna itu. Malah Baginda Sultan yang amat prihatin tentang hal-hal membaca telah turut turun ke Kompleks PKNS selepas itu untuk melawat Pesta Buku Selangor yang merupakan sebahagian daripada program Hari Ilmu.

Kita kerap bercakap tentang pentingnya membaca tetapi tidak ramai yang bersungguh-sungguh mengambil usaha agar rakyat membaca. Mungkin membaca buku di tepi tasik terasa janggal oleh ramai orang, tetapi PPAS telah mengambil langkah untuk berkempen bahawa membaca itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Membaca memang sesungguhnya boleh dilakukan di mana-mana. Sekumpulan individu yang prihatin malah telah mengambil inisiatif menggalakkan orang membaca di dalam lrt dan monorail. Kempen mereka melalui membaca@lrt dan membaca@monorail (kumpulan ini boleh dikesan di www.facebook.com) kelihatan telah membina momentum dengan taqlina membaca@... itu
semakin bercambah.

Untuk menjadi negara maju, rakyat kenalah membaca. Untuk memajukan diri sendiri kita kenalah membaca. Membaca tidak tamat setelah kita menggenggam segulung ijazah kerana membaca adalah penting selagi hayat dikandung badan. Malah menggalakkan orang membaca adalah fardu kifayah. Pembangunan tamadun akal dan tamadun negara akan terhenti sebaik sahaja kita berhenti membaca.

Isnin, 22 Februari 2010

HIKAYAT BAHASA MELAYU

I.
Layu sudahkah titisan Austronesia selepas 2000 tahun dari tanah Campa yang subur? Lupa sudahkah 300 juta pewarisnya yang bersebar dari Timur ke Sri Lanka lalu ke Ocenia dan Afrika Selatan ? Luntur sudahkah bahasa Kun Lun, bahasa Dwipantara, bahasa Malaiyur-pura?

Tatkala I-Ching beristirahat di Fo-Syih di kota Sriwijaya, bahasa Melayu itu bahasa dagang-ilmu-agama, bahasa hayat warga kosmopolitan. Tatkala Raja Portugal melanggari alam Melayu, terhampar warkah Sultan Ternate yang masih tersimpan rapi. Tatkala Ibu Battutah bermusafir di Kailu Kari bahasa itu cukup tampan.

II.
Bahasa Melayu itu inti akidah-persuratan-tamadun, bahasa bicara seluruh alam Melayu. Bahasa Melayu itu lingua fraca yang ditelaah tetamu Cina, India, Arab, Farsi, Portugal, Itali, Belanda, Inggeris, Peranchis dan Sepanyol. Bahasa Melayu itu mengemudi Islam sebaris bahasa Arab, Farsi, Turki, Inggeris dan Hindi. Bahasa Melayu itu bahasa kerajaan dari Patani ke Singapura, dari Borneo ke Filipina Selatan, dari Kalimantan ke Banjarmasin. Bahasa Melayu itu membuahkan Aqa’id Al-Nasafi warisan manuskrip tersohor Melayu yang tercatat dengan tinta. Lalu tidak cukup bukalah Sabil al-Muhtadin , Furu’ al-Masa’il, Siyar al-Salikin dan Hidayat al-Salikin.

Tatkala bahtera dari Atas Angin berbondongan di Selat Melaka, tamadun Melayu mewarnai tanah Aceh. Butir-butir permata Hamzah Fansuri menjadi minda Iskandar Muda Mahkota Alam. Dari Burung Pungguk ke Burung Pingai, dari Syair Dagang ke Syair Faqir lalu berbicaralah Wahdatul Wujud. Terangkat tinggi sfera kesempurnaan rohani bagai dikata Branguicky. Bertempiknya Nuruddin al-Raniri dengan polemik maha dahsyat bangsa Melayu.

Lalu benarkah Homerus dengan Odysseusnya lebih gah daripada Tun Sri Lanang dengan Sulalatus Salatinnya? Lalu benarkah Hikayat Hang Tuah tidak sekufu Hamlet? Diangkat Francois Valentijn bahasa Melayu yang segah bahasa Latin dan bahasa Peranchis.

III.
Lupakah kita jiwa Melayu subur dengan tinta Syed Syikh Ahmad al-Hadi, Syeikh Muhammad Tahir al-Falaki, Abdul Rahim Kajai, Za’ba, Pak Sako, Harun Aminurrashid? Lupakah kita baja yang kita sirami di Pejabat Karang Mengarang? Lupakah kita keringat dan darah Pujangga Baru-Angkatan 45-ASAS 50?

Lalu Sumpah Pemuda 1928 melahirkan sebuah negara Melayu di seberang. Lalu disambut dengan Keranda 152 pendokong bahasa Melayu yang menitiskan Api dan Air Mata di Balai Budaya muafakat menolak memadukan bahasa Melayu.

IV
Sesudah kita junjung bahasa ini dengan ceraian 160 di medan Parlimen; sesudah kita ikrarkan bahasa ini bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pemersatu; sesudah kita bina sejuta kosa kata ilmu; sesudah kita bangunkan sebuah menara gading dengan muatannya hanya bahasa Melayu; sesudah kita tamadunkan bangsa dengan bahasa ini; sesudah kita rafakkan bahasa kita sebagai bahasa supra, bahasa akliah, bahasa ontologi-epistemologi-aksiologi; sesudah kita lontar jauh-jauh jiwa sekularisme:

lalu datang memanda Bendahara dengan sebatang pena, lalu bertitah bahawa demi berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, ilmu akliah dan ilmu hitung itu bukan lagi berlaraskan bahasa Melayu. Lalu kita sama-sama mahu menoktahkan keajaiban bahasa pribumi ini.

Bahasa Melayu: adakah hanya sebuah hikayat?

~ terbit: SUMPAH 152 :
Antologi Puisi Hari Pejuang Bahasa, Gapena, 2010

Jumaat, 8 Januari 2010

Adakah Tuhan Islam dan Tuhan Nasrani Itu Berbeza?

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengizinkan akhbar Herald untuk menggunakan terjemahan ‘God’ sebagai ‘Allah’ dalam penerbitan versi berbahasa Melayu kini menjadi satu isu yang kontroversial dan mengganggu pemikiran masyarakat Islam. Mengapa? Ini kerana bertitik tolak daripada konsep ‘Allah’ membawa kepada dua kepercayaan yang berbeza. Pada waktu ‘Allah’ sememangnya nama yang dirujuk sebagai Tuhan kepada orang Islam, sebagaimana terpakai dalam al-Quran, ‘Allah’ dalam konteks Nasrani adalah terjemahan kepada kosa kata ‘God’. Apakah yang membezakannya?

Apabila disebut Allah kepada orang Islam seperti dalam firman-Nya, surah al-Ikhlas yang bermaksud. “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tidak beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tiada ada sesiapa yang setara dengan-Nya.” Sesungguhnya ‘Allah’ membawa pengertian tauhid yang menjadi sempadan akidah orang Mukmin.

Sementara kepada orang Nasrani, konsep ‘God’ atau ‘Lord”yang kini diterjemahkan sebagai ‘Allah’ memberikan pengertian kepercayaan yang berbeza. ‘God’ Nasrani berdasarkan konsep ‘trinity’ iaitu ‘God the father, God the son dan God the ghost (roh-roh kudus). Maka apabila disebut ‘Allah’ maka pengertian semantik dan sempadan makna kepada penganut Islam dan Nasrani adalah berbeza. Sebagai contoh mudah kalau dalam satu sekolah disebutkan ‘Allah Pencipta alam ini’ maka kepada kanak-kanak Islam yang dimaksudkan adalah Allah yang Maha Esa (yang tunggal) sementara kepada kanak-kanak Nasrani merujuk kepada konsep ‘trinity’ itu.

Bertolak daripada pegangan yang berbeza itu, sejauh manakah kewajaran perkataan Allah digunakan oleh penganut Nasrani? Istilah Allah sebenarnya bukan digunakan oleh seluruh penganut Nasrani di seluruh dunia, tetapi tidak juga bermaksud tidak digunakan langsung. Dalam konteks Malaysia, pada waktu bahasa Melayu adalah bahasa komunikasi terutamanya di Sabah dan Sarawak, maka Allah telah digunakan oleh penganut Nasrani di sana. Sama ada wajar atau tidak, Allah telah digunakan oleh penganut Nasrani walaupun tidak meluas, apatah lagi Nasrani adalah juga agama Samawi.

Kegusaran orang Mukmin adalah sejauh mana kesan jangka masa panjang dengan keizinan kepada penganut Nasrani untuk menggunakan kata ‘Allah’? Sememangnya kalau keputusan mahkamah itu menjadi lesen untuk menggunakan kata Allah secara menyeluruh maka kelak akan menimbulkan salah faham yang lebih terbuka antara penganut Islam dan Nasrani. Pada masa yang sama juga adalah sesuatu yang tidak adil untuk menghalang mereka daripada merujuk ‘Tuhan’ sebagai Allah.

Agama adalah sesuatu yang amat sensitif, apatah lagi dalam negara Malaysia yang penganut Islamnya hanya kira-kira 60%. Pada waktu kita berpegang kepada kepercayaan Tauhid bahawa ‘Allah’ itu Esa, kita harus berhati-hati apabila berbicara dan bertindak dalam menangani isu ini. Pada waktu kita mempertahankan agama, akidah dan kepercayaan kita, kita juga perlu berhati-hati jangan sampai kita menyentuh hak beragama penganut lain. Biarlah hal ini ditanggani secara bijaksana bukan melalui konfrantasi mahupun demonstrasi.