Selasa, 27 Mei 2008

Sekolah Bahasa


dari Seri Setia, Za’aba ke Sanggar Bahasa
membelah malam dalam gelap hujan
membuka mata luas-cerah demi kuliah
membuka minda semula menyerap ilmu
mengidamkan segulung bacelor bahasa

sekolah bahasa ini bukan untuk belajar nahu
sekolah bahasa ini membuka hamparan minda
membuka jendela ke taman cendekia
pentas bicara atas nama merdeka ilmu
menukar topeng bisnes ke topeng siswazah

bacelor bahasa ini nanti bukan milik seorang
tiket ilmu ini milik anak isteri yang bersengkang
mengorbankan masawaktu kegembiran tanpa suamiayah
yang memberi ucapan selamat bila peperiksaan
yang terlena waktu larut ayahnya pulang

sekolah bahasa ini nostalgia harum segar
wangi ilmu pendeta-profesor-pensyarah
sucibersih iltizam mengagih beri ilmu
terkandung badan sehingga hujung hayat
sekolah bahasa ini ladang subur yang ranummewah

8 Mei 2008

Moga Kita Tidur Lena

tutuplah matamu
tutuplah telingamu
tutuplah mulutmu
tutuplah semuanya rapat-rapat

mata ini terlihat tidak melihat
telinga ini terdengar tidak mendengar
mulut ini terkata tidak berkata

Ghazza hanyalah pentas sandiwara
yang terpelosok, terlalu jauh, hanya terdengar sesekali

Abu Ghalib hanyalah rumah rehat
untuk mujadid yang rela tangan kaki mata diikat

pejamlah matamu
agar tidurmu tidak terganggu
agar kau tidak terbayang-bayang
tubuh kejang kering di pasir Darfur
percikan darah di bumi Kabul
tubuh berpeluru anak-anak Palestine

pejamlah matamu
agar tak terganggu dek tanggisan anak-anak tak beribu

7 Mei 2008

di pentas siasah ini

betapa aku tabek insan-insan ini
yang tegar mata bersinar langkaui terik embun
melontar satu demi satu kata-kata mencengkam minda
rakyat termangu angguk setuju sorak
mereka mulut berapi pejuang-pejuang tanahair
dicap Inggeris pejuang nasionalis petualang kiri
anak-anak watan ini pendekar atas pentas siasah
ingin aku seperti mereka
seperti Ahmad Boestamam, Dato Onn, Asri Hj Muda

betapa aku kagum insan tak takut peluru air ini
yang mencabar suara keramat pemimpin bangsawan
di tengah malam di tengah siang padang- jalan raya
FRU mengepung menembak peluru getah asid air
Tian Chuan, Mahfuz, Azmin Ali, tegar bangkit
ingin aku seperti mereka
seperti Anwar Ibrahim lunaklancar kata bak air terjun

waktu aku diberikan pentas siasah ini
berdiri tegar dengan beratus mata Melayu Cina India
manusia menyorak-nyorak bersemangat menelan setiap kata
di mata mereka aku pendekar politik pejuang rakyat
kutagih simpatiempati yang mengalirkan kemenangan rakyat
apakah aku sudah sekuliah dengan Ahmad Boestmam, Dato’ Onn
Tian Chuan, Mahfuz Omar?

di pentas siasah ini aku jelmakan suara cita-cita hati
di pentas siasah ini aku keliru siapa aku

26 April 2008

Rabu, 21 Mei 2008

Paris van Java


darah biru mengalir langsung
nadi-nadi halus bangsawan keraton raden

darah kotor mengalir langsung
nadi-nadi kasar marhein buruh

darah-darah biru atas mobil mewah
darah kotor atas lorong dan pondok

bunga-bunga Paris van Jaya
harum mekar segar mewarnai alam

bunga-bunga Paris van Java
pantas dipetik untuk jambangan hiasan
pantas darah biru menghirup madunya
pantas dibiar layu setelah kering



4 Mei 2008

222 kerusi

222 itu adalah kerusi
kalau diduduk tetap kerusi
kalau diangkat tetap kerusi
kalau dialih tetap kerusi

cuma kerusi itu kerusi keramat
yang direbut melalui pilihan raya
yang mewakil 25 juta rakyat
yang memberi penghormatan pemilik

222 itu adalah kerusi kuasa
yang mengangkat seorang pejawat jadi PM
yang memartabatkan sekumpulan jadi pentadbir
yang kerapkali tersalahberi kuasa

di dewan 222 kerusi ini
YB berbalah, YB bersenda, YB berang
di dewan 222 kerusi ini
nasib rakyat marhein generasi tercorak

dewan 222 kerusi ini
manusia semakin siuman
manusia semakin hilang akal
manusia semakin gawat

30 April 2008

Selasa, 20 Mei 2008

Pesan Saddam kepada Bush

wahai saudara Presiden
anak belukar yang namanya belukar jua
salam saya untuk anda dan bapa anda
moga anda berdua sentiasa ditimpa musibah
kerana anda, bapa anda malah saya juga
adalah makhluk yang tidak diperlukan alam

hancurluluhbinasa bumi Iraq ini anda lakukan
demi demokrasi acuan anda sendiri
hatta saya juga punya acuan demokrasi
atas harga bangsa Syiah dan Kurdish

esok anda akan menamatkan talian hayat saya
sayang kita tidak dapat berhubung lagi

ingatlah wahai Bush anak Bush
bangsa Iraq ini tidak sesekali akan mati
walau berkali dibunuh oleh Tartar
walau seribu satu anak lelaki kau penggal kepala mereka
walau kaubunuh benih-benih mereka sejak dalam rahim
walau kaulimpahi Sungai Tigris jadi merah
tetap lahir anak-anak syuhada menuntut negara mereka kembali

saksikanlah nanti lahir sepuluh lagi Harun al-Rasyid


8 Mei 2008

Rabu, 14 Mei 2008

Seorang Syiah, seorang Sunnah dan setong minyak

sarapanku dengan akhbar
sarapanku dengan secawan nescafe
sarapanku dengan roti canai

sarapan di bumi Babylon
dengan kelongsong peluru yang bertaburan
dengan serpihan mortar yang berkecai
dengan cebisan tubuh yang luluh

tanggisan bukanlah kejanggalan
tangisan adalah juadah harian
tanpa mengira masawaktu
air mata ibuayahjandadudaanak mengalir

roh jasad tiada harga lagi
lalu boleh dicabut tanpa mengira masa
seorang Syiah seorang Sunnah seorang Kurdish
nilainya tidak lebih daripada
setong minyak yang harganya lebih US100


21 April 2008

Selasa, 13 Mei 2008

Dua Sahabat

seorang ini cendekia di menara gading
namanya gah tinggi besar harum
tegurnya katanya tintanya sinisnya
jadi ilmu murid penulis sasterawan penuntut
besar karyanya hebat ilmunya
sehingga meluaktumpah kepada zuriatnya
yang turut gah pada usia muda
sayang anaknya itu hilang tanpa jejak

seorang ini Baba Muslim pedagang pasar malam
seluar kontot tika memborong sisa-sisa kertas
akal Cina bisnesnya hebat terjelma
sisa kertas di kilang di jalan adalah wang
buku-buku tergudang simpan dilelong murah
pantas dia belajar menjadi penerbit buku kanak-kanak
hasilnya molek hasilnya cantik hasilnya murah
didokongnya pedagang kecil dan anak paitu

seniman itu dan Baba itu mungkin bukan sahabat
malah mungkin tidak pernah kenal nama
hatta seorang karyawan dan seorang penerbit buku

cuma sesungguhnya qadak-Nya qadar
aku bertemu kedua-duanya di suatu persinggahan
waktu Baba itu pergi dahulu rehat bersemadi
tidak lama kemudian seniman itu menuruti
dari jauh, negeri di bawah bayu
terus bersemadi sebagai tetangga, betul-betul di sebelah
dua sahabatku, seniman besar dan pedagang pasar malam
bertetangga berkandungkan tanah.
25 April 2008.

Isnin, 12 Mei 2008

Kehilangan II: Salam Nargis

Nargis datang lalu memberikan salam
mengucap hangat alam sepintas lalu
di Lembah Irrawady, Bogale, Pulau Haing Gyi
membawa bersama taufan setinggi dua puluh kaki
mengubah alam menjadi lautan besar

tiada lagi gerobok-gerobok usang
perahu-perahu nelayan tidak lagi berlayar
sawah-sawah padi kini mendasari lautan
ikan-ikan lepas dari pukat nelayan
pesawah-nelayan hanya sejarah silam

ini bukan lagi jelapang padi Asia
ini adalah jelapang tubuh manusia dan haiwan
puluhan ribu tubuh hanyut tanpa waris
membersihkan tanah emas dataran Asia
setelah ini semakin perang gambut dengan baja manusia

Nargis-tsunami-El Nino mewajahi benua ini
anak tiri yang lahir atas kerakusan nodaan alam
membuangbersih tanah hutan demi kehidupan
mengasapracuni nikmat udara demi perindusterian
menzahiri kelaparan, penyakit, air kotor untuk kehidupan


8 Mei 2008

Kehilangan I


tanah ini tanah rezeki
tanah yang membuahkan padi emas
tanah suap nasi anak isteri di lembah Kayin
tanah air mata darah air peluh tubuh

tanah ini tanah ratapan Than Tun dan Adahar
tanah raungan anak-anak dagang Myamar
yang melihat dari jauh korban demi korban
yang kehilangan ayah isteri dan anak-anak

tanah ini tanah jelapang padi
tanah ini tanah air mata Nargis
tanah ini harus dibajaki terus demi anak-anak
yang sedang terapung kaku di lembah Irrawady
yang tidak dapat disempurnakan seorang ayah



8 Mei 2008
(Mingguan Malaysia @ 15 Jun 2008)