Isnin, 30 Mac 2009

Gerakan Rakyat VS Kuasa Elitis

Bukit Selambau dikatakan telah mencipta sejarah kerana ada 15 calon untuk pilihan raya kecil. Hebat kerana hari ini rakyat telah tahu kuasa politik, rakyat sudah tahu bahawa mereka bukan sahaja boleh mengundi malah boleh diundi dalam pilihan raya. Cuma rasanya 15 calon itu bukannya sejarah. 2 calon, 3 calon, 10 calon hanyalah angka-angka atas kertas yang akhirnya masih tetap seorang pemenangnya. Malah apa jumlahnya bukan sejarah kerana angka mungkin sebahagian daripada strategi parti elitis untuk memecahkan undi rakyat.

Semasa dalam perjalanan ke tempat penamaan calon di Bukit Selambau, tempat berkumpulnya penyokong PKR, ratusan manusia, ribuaan manusia datang dari pelbagai penjuru untuk sama-sama memberikan sokongan. Masyarakat India dari seluruh negara datang dengan pelbagai bendera dan pelbagai baju biru dan putih PKR. Kenderaan penuh sesak di merata jalan dan penjuru. Malah yang lebih paling hebat, bukannya dengan hadirnya berduyun-duyun orang PKR, PAS dan DAP dari seluruh negara, tetapi rakyat tempatan yang kali ini secara berani beramai-ramai datang memberikan sokongan. Kelihatan mak cik, pak cik, datuk, nenek, yang sesungguhnya mereka orang kampung. Yang inilah sejarah apabila pengundi Bukit Selambau tanpa mengira umur, ras dan bangsa, pelbagai agama datang beramai-ramai. Suatu pandangan yang mengharukan apabila pak cik yang datang berbaju Melayu dan berkain pelekat, mak cik tua, Cina tua berseluar kontot, datang untuk menyokong seorang berbangsa India yang mewakil PKR. Yang inilah sejarah!

Mengapa mereka datang? Malah mungkin ramai yang tidak kenal siapa Manikumar yang akan mewakili PKR. Parti elitis masih lagi tidak mengaku bahawa rakyat sudah mual, sudah muak, sudah kecewa. Yang terbaru menjadikan mereka semakin marah ialah apabila pada hari Isnin malam sebelumnya, pada waktu kira-kira 10,000 orang kampung datang untuk mendengar apa yang mahu ditawarkan oleh PKR, tiba-tiba seluruh kawasan dikepung oleh FRU. Ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru sahaja memberikan salam, seluruh mereka bukan ditaburkan dengan bunga-bunga rampai tetapi semburan air dan gas pemedih mata. Berlarianlah pak cik, mak cik, datuk, nenek, adik-adik, Ah Seng, Muttu dan semuanya mencari tempat perlindungan. Kalau sebelum ini cerita semburan air dan gas pemedih mata hanya terlihat di kaca televisyen dan terbaca di akhbar, malam itu orang kampung Bukit Selambau merasai pengalaman itu. Esoknya cerita semburan air dan gas pemedih mata menjadi cerita kedai kopi di seluruh Bukit Selambau dan Sg. Petani. Berkatalah orang kampung yang selamanya menyokong Pakatan dan selama ini belum menyokong Pakatan: mulai hari ini kami akan sokong Pakatan Rakyat!

Swaktu kami bersesak-sesak di Bukit Selambau (bersama sdr Azmi Hassan dari Putrajaya dan Haji Norasidi Salim, Bendahari PKR WP), seorang rakan memberikan khabar dari Batang Ai (Ai itu dibunyikan sebagai Air, sementara batang maknanya sungai) bahawa calon Bebas menarik diri dan memberikan sokongan terbuka kepada PKR di hadapan Ketua Menteri Sarawak, sementara khabar dari Bukit Gantang bahawa penyokong Pakatan yang hadir mungkin sehingga 50,000 orang berbanding penyokong BN yang kira-kira 3,000 orang sahaja. Akhbar-akhbar perdana mungkin akan memberikan angka yang amat berbeza mungkin kerana pemberita mahupun editornya hanya mempelajari ilmu kewartawanan bukannya ilmu matematik. Sewaktu di Bukit Gantang petangnya, dua perkara paling menonjol selain kesesakan jalan raya dengan pelbagai kenderaan serta tauke tol dan pemilik gerai-gerai mi udang yang tersenyum. Pertama ramainya polis sehingga ada penempatan polis khas bagai kampung dengan khemah-khemah putih dan lori-lori merah FRU. Keduanya perang bendera PAS dan BN. Andainya pemenang pilihan raya dikira dengan berapa banyak bendera yang dipasang, tentunya parti elitis itu yang serba kaya dan mewah sudah dikira pemenang. Cuma bendera tidak boleh mengundi dan yang boleh mengundi nanti adalah rakyat Bukit Gantang yang sudah semakin cerdik.

Kalau di Bukit Selambau terlihat orang-orang kampung yang menyokong gerakan rakyat, penyokong PKR di merata-rata dengan baju mahupun kemeja-T PKR; kalau di Bukit Gantang kelihatan pelbagai kenderaan yang membawa bendera PAS dan PKR, yang lebih hebat lagi adalah sepanjang lebuh raya Utara-Selatan dari Sg Lalang/Sg Petani ke Kuala Lumpur yang penuh dengan kenderaan. Dengan hujan lebat sepanjang perjalanan kembali ke KL, di mana-mana R & R di waktu malam, dipenuhi orang ramai. Yang berhenti makan, berhenti solat, berhenti rehat ini bukan sahaja pak cik yang berkupiah PAS, anak muda Cina yang berkemeja PKR, anak muda Melayu yang berkemeja-T PAS, pemuda India yang terang-terang menyokong Pakatan, malah berduyun-duyun rakyat penyokong Pakatan yang mahu kembali ke Kuala Lumpur setelah menghadiri penamaan calon.

Inilah dia suara dan gerakan rakyat!

Khamis, 12 Mac 2009

Benarkah Pak Kaduk Orang yang Bodoh?

Cerita Pak Kaduk, Pak Pandir, Pak Belalang, Si Luncai dan beberapa yang lain terkandung dalam Cerita Jenaka Melayu yang merupakan sebahagian daripada warisan sastera tradisional Melayu. Sesungguhnya orang Melayu kaya dengan warisan kesusasteraan yang awalnya lahir dalam bentuk oral sebelum dijadikan bentuk bercetak. Karya-karya bangsa Melayu malah hebat dan dikagumi orang Eropah. Sulalatus Salatin malah diiktiraf sebagai antara karya besar dunia kerana merupakah dokumentasi tentang sejarah bangsa Melayu yang paling komprehensif, paling berwibawa, paling lama tempoh waktunya malah antara warisan yang paling tinggi nilai kesusasteraannya.

Cerita tentang Pak Kaduk adalah antara warisan Melayu. Adakah karya ini karya yang ingin menampilkan kebodohan orang Melayu atau sekadar bahan lelucuan Melayu. Melihat cerita Pak Kaduk mahupun cerita jenaka lain melalui yang tersurat merupakan suatu kesilapan besar kerana karya ini tidak ditulis hanya sebagai bahan lelucuan. Karya-karya warisan Melayu yang awal lazimnya tidak mencatatkan nama penulis. Ini kerana pengkaryaan dalam zaman Melayu tradisional bukan kerana nama tetapi kerana mengisi keperluan orang Melayu yang perlu dididik dan dibimbing dalam pendekatan yang tidak kompleks. Malah lazimnya karyawan tradisional adalah mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi terutama ilmu yang berkaitan dengan Islam.

Karya-karya Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, dan ramai lagi adalah karya besar yang pernuh dengan ilmu tasawur dan sufi malah teramat sukar mencari karya hari ini yang dapat dihasilkan sehebat karya itu.

Kembali ke cerita Pak Kaduk? Benarkah Pak Kaduk lambang kebodohan orang Melayu? Cerita Pak Kaduk sebenarnya mempunyai unsur alegori Melayu, atau dalam kata lain mempunyai maksud berlapis-lapis atau maksud tersirat. Pada zaman feudal karya tidak boleh langsung menyentuh sesuatu yang berkaitan dengan raja maka unsur-unsur kritikan terhadap raja dibuat melalui alegori. Kisah peminangan Puteri Gunung Ledang contohnya mempunyai unsur alegori yang mendalam.

Apakah alegori di sebalik cerita Pak Kaduk? Sebagai seorang hamba rakyat yang menjunjung dan menghormati raja, Pak Kaduk perlu berpakaian cantik apabila berhadapan dengan raja sewaktu berlaga ayam. Oleh kerana dia miskin, dia memilih berbaju kertas sebagai lambang taat kepada raja hatta akhirnya dia tahu dia mungkin dimalukan. Maka berbaju kertaslah Pak Kaduk.

Raja yang tahu akan kehebatan ayam Pak Kaduk meminta tukar ayam. Pada zaman feudah, raja mempunyai status yang paling tinggi dalam sistem tradisional. Kata-kaya raja adalah titah atau perintah. Menolak permintaan raja dianggap derhaka. Bolehkah Pak Kaduk menolak permintaan raja untuk bertukar ayam? Jawapanya adalah bahawa dalam sistem beraja pada zaman itu, rakyat tidak boleh menolak permintaan raja, hatta dia seorang Bendahara mahupun Laksama. Apatah lagi rakyat seumpama Pak Kaduk sudah tentu tidak berani dan patuh menerima permintaan raja sebagai titah raja. Pak Kaduk bertukar ayam dengan raja bukan semata-mata kerana dia dungu tetapi kerana sebagai hamba rakyat dia harus mematuhi titah raja.

Akhirnya terbukti ayamnya menang cuma ayamnya telah ditukarkan dengan ayam raja. Kemenangan ayam yang dipeliharanya tetap merupakan suatu kegembiraan hatta ayam itu tidak dimilikinya lagi. Pak Kaduk bersorak sehingga baju kertasnya koyak rabak lalu terbukalah semuanya yang tidak harus dibuka. Siapakah yang mendapat malu? Pak Kadukkah yang sudah terbogel di hadapan rakyat atau rajakah yang terpaksa menonton Pak Kaduk seorang tua yang buruk berbogel di hadapannya?

Selasa, 10 Mac 2009

Sahkah Persidangan Bersejarah di Bawah Pokok?

Ramai orang yang semakin keliru dengan apa yang berlaku di Perak. Lalu persidangan Dewan Undangan di Bawah Pokok (pada 3 Mac 2009) dilihat daripada perspektif politik. Sahkah persidangan itu. Saya ingin berikan sedikit gambaran tentang senerio ini.

1. Persidangan DUN di bawah pokok berlaku setelah Speaker dan penggubal udang-undang
(ADUN) dilarang untuk memasuki pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk persidangan
Dewan Undangan. Halangan ini menimbulkan dua persoalan undang-undang lain:

· Apakah hak Setiausaha Dewan ataupun Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menghalang
persidangan Dewan Undangan Negeri yang dipanggil oleh Speaker? · Apa pula hak polis
yang menghalang penggubal undang-undang memasuki Dewan Undangan Negeri untuk
bersidang?

2. Atas interpretasi bahawa persidangan DUN merupakan persidangan lanjutan daripada
persidangan yang sebelumnya yang ditangguhkan, maka persidangan baru tidak
memerlukan perkenan Sultan. ADUN Barisan Nasional boleh mempersoalkan kesahan
persidangan ini di mahkamah tetapi tidak boleh menghalangnya.

3. Barisan Nasional telah mendapat pengisytiharan mahkamah bahawa Speaker tidak
dibenarkan untuk mengadakan persidangan baru. Cuma pengisytiharan ini telah
menimbulkan beberapa persoalan lain:

· Adakah mahkamah mempunyai hak perlembagaan untuk menghalang persidangan
Dewan Undangan Negeri?
· Keputusan yang dibuat adalah keputusan sebelah pihak setelah penguam Speaker tidak
dibenarkan untuk mewakil Speaker kerana Speaker dikatakan sebagai penjawat jawatan
awam.
· Bolehkah Peguamcara Kanan Persekutuan mewakili Penasihat Undang-udang Perak bagi
pihak Datuk Zambry dan EXCO kerana status Datuk Zamry sebagai Menteri Besar
sedang dipersoalkan di mahkamah.

4. Persoalan yang lebih besar adalah ADAKAH PERSIDANGAN DI BAWAH POKOK
ADALAH SAH? Status persidangan ini tidak dibangkitkan dan mahkamah tidak membuat
sebarang keputusan tentang status ini. Oleh itu sehingga waktu ini maka persidangan di
bawah pokok adalah sah dan Barisan Nasional tidak mendapat sebarang perisytiharan
mahkamah bahawa persidangan itu tidak sah.

5. Justeru secara objektifnya apabila persidangan itu sah, maka keputusannya adalah sah.
Oleh itu usul yang dibawa dan diluluskan adalah sah, iaitu:

· Datuk Zambry dan EXCOnya disahkan pergantungan daripada persidangan;
· Datuk Seri Nizar Jamaluddin masih mendapat kepercayaan DUN dan masih Menteri
Besar yang sah;
· DUN Perak dibubarkan.

6. Natijah lanjutnya adalah:
· Datuk Zambry dan EXCO belum mendapat undi percaya di DUN malah telah digantung,
maka bolehkah beliau bertindak sebagai Menteri Besar?
· Sebagai Menteri Besar yang secara legalnya masih dipertikaikan maka bolehkah beliau
membuat keputusan-keputusan yang membawa implikasi dasar dan kewangan negeri?
· Siapakah kerajaan di Perak sekarang?

7. Kerajaan Perak kini menghadapi krisis perlembagaan yang hebat kerana adanya
Menteri Besar de jure (Datuk Seri Nizar Jamaluddin) dan Menteri Besar de facto (Datuk
Zambry). Dalam sebuah negara yang telah lebih 50 tahun merdeka, bagaimana ini masih
boleh terjadi?

8. Hanya ada satu cara penyelesaian: Kembalikan kuasa rakyat melalu pilihan raya semula di
Perak.