Khamis, 5 Februari 2009

Perak: Krisis Perlembagaan?

Apa yang berlaku di Perak sesuatu yang amat mengecewakan apabila manusia memilih kepentingan diri sendiri berbanding kepentingan dan kepercayaan rakyat. Walau bagaimanapun cuba kita renung-renungkan tentang realiti di Perak. Lupakan soal moral kerana garis panduan moral BN hanyalah apabila sesuatu tindakan itu menguntungkan mereka.

Cuma ini realiti yang harus difikirkan. Bolehkah BN membentuk kerajaan:
1. Kerajaan Pakatan masih kerajaan yang sah sehingga saat ini.
2. BN tidak boleh membentuk kerajaan sehingga mendapat perkenal Sultan Perak, dan pelantikan itu mesti mendapat kepercayaan Dewan Undangan Negeri.
3. Jika BN mendapat perkenan Sultan Perak, Dewan Undangan Negeri perlu meluluskan undi percaya paling kurang majoriti mudah. Tetapi adakah BN mempunyai majoriti mudah? BN mempunyai 28 kerusi, Pakatan mempunyai 28 ada 3 lagi Adun Bebas. Adun Bebas ini menurut Speaker telah meletakkan jawatan dan Speaker mempunyai kuasa menerimanya. Maknanya ketiga-ketiga mereka tidak boleh menyertai Dewanan Undangan Negeri, lalu kedudukannya adalah Dewan Undangan yang tergantung 28-28. Ketiga-tiga Adun boleh mempersoalkan kedudukan mereka tetapi bukan di Dewan Undangan tetepi di mahkamah dan ini mengambil masa. Justeru Dewan Undangan Negeri tergantung dengan kerajaan Pakatan masih kerajaan yang sah.
4. Bagaimana status 3 Adun yang meninggalkan Pakatan. SPR telah bertindak salah kerana menolak peletakan jawatan dua Adun tersebut.. SPR bertanggungjawab daripada segi perlembagaan untuk menerima surat daripada Speaker Perak dan bukannya daripada dua Adun tersebut. Justeru pilihan raya kecil kena diadakan. Jika kedua-dua Adun tersebut tidak berpuas hati, maka mereka berhak membawanya ke mahkamah dan mahkamah yang menentukan status mereka. SPR tidak boleh menilai status mereka tetapi menerima makluman daripada Speaker Perak.

Lalu apakah yang terbaik dan teradil? Tentunya daripada segi moral dan legal (agar tidak berlaku krisis perlembagaan) adalah pembubaran Dewan Undangan Negeri. Biarkan rakyat yang memilih kerajaan yang mereka mahukan. Tidakkah itu dinamakan demokrasi berperlembagaan?