Selasa, 14 April 2009

MENGAPA KJ TIDAK DILANTIK?

Sinar Harian, 15 April 2009
Apakah komposisi Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (pada 10 April 2009) merupakan suatu kejutan? Ramai awalnya tertanya-tanya tentang perubahan besar yang dikatakan akan berlaku. Akhirnya kecuali 6 muka yang benar-benar baru, tidak banyak kejutan yang berlaku. Mungkin yang benar-benar terkejut adalah Khairy Jamaluddin (KJ), menantu mantan Perdana Menteri ke-5 yang baru sahaja dinobatkan sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Jawatan Ketua Pemuda UMNO bukanlah jawatan yang kecil di dalam UMNO. Jawatan ini sama tarafnya dengan jawatan Ketua Wanita yang bertaraf Naib Presiden. Lantaran pentingnya jawatan itu dalam membina hararki kepimpinan dalam parti Melayu tertua ini, sering jawatannya menjadi rebutan dan menjanjikan persaingan sengit dalam setiap kali pemilihan. Memang lazim dan mungkin menjadi tradisi ketua sayap pemuda ini diberikan jawatan Menteri. Cuma kali ini pelantikan ini tidak berlaku malah kuota satu menteri itu menjadi 2 Timbalan Menteri, satu diberikan kepada Naib Ketua Pemuda UMNO dan satu lagi diberikan kepada calon yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO itu.

Mengapa KJ tidak dilantik paling kurang sebagai Timbalan Menteri? Alasan yang diberikan adalah kerana bahawa jawatan Ketua Pemuda adalah jawatan sepenuh masa lalu beliau perlu menumpukan perhatian kepada Pemuda. Mungkin satu jawapan untuk menyedapkan hati. Apakah sebelum ini jawatan Ketua Pemuda sebagaimana semasa Dato’ Hishammuddin Hussein Onn jawatan itu sepenuh masa dan tidak memungkinkan penjawatnya memegang jawatan dalam Kabinet? Adakah hanya jawatan Ketua Pemuda dan tidak Ketua Wanita dan Ketua Puteri adalah jawatan sepenuh masa? Tidak duduknya Ketua Pemuda dalam Kabinet bukanlah tradisi UMNO.

Adakah perkiraan yang lain yang menyebabkan KJ tidak dilantik memegang sebarang jawatan dalam Kabinet Najib? Malah tidak melantik KJ bukan suatu perkiraan yang sukar kepada Perdana Menteri baru itu. Awal-awal Najib telah diingatkan oleh pelbagai pihak bahawa Kabinet barunya perlu bersih dan perlu daripada mereka yang dapat memberikan sumbangan kepada kerajaan khususnya dalam menempuh kegawatan ekonomi dunia. Amat malang bagi KJ yang walaupun telah memenangi jawatan Ketua Pemuda tetapi beliau dikaitkan dengan politik wang sebelum pemilihan itu. Malah semasa beliau diisytiharkan menang sebagai Ketua Pemuda pun, secara terbuka beberapa pemuda UMNO melaungkan kata-kata negatif kepada beliau. Jawatankuasa Disiplin UMNO telah mendapati beliau bersalah tetapi hanya diberikan ingatan. Label bersalah itu sudah cukup untuk memberikan imej yang kurang positif terhadap KJ. Beliau mungkin menang dalam pertandingan Ketua Pemuda tetapi kemenangan itu tidak mutlak memandangkan beliau bukanlah mendapat pencalonan terbanyak awalnya dan kemenangan tipis itu dikatakan berlaku dengan adanya tiga orang calon.

Mungkin juga KJ boleh melihatnya dengan positif dengan pemikiran bahawa tanpa duduk dalam Kabinet beliau boleh menumpukan masa terhadap penyusunan semula Pemuda dalam mendekati rakyat. Bunyinya mungkin muluk dan murni cuma dalam realiti politik khususnya dalam politik UMNO ‘sama ada anda di dalam atau anda di luar’. Kini KJ di luar dan kedudukan dua orang dalam Pemuda dilihat lebih mantap berbanding beliau. Timbalan beliau, Dato’ Razali adalah Timbalan Menteri. Sudah tentulah Dato’ Razali selepas ini akan dapat memperkukuhkan kedudukan beliau di kalangan Pemuda. Apatah lagi sememangnya imej beliau dilihat bersih dan beliau dilihat antara tokoh baru yang dinamik. Begitu juga dengan Dato’ Mukhriz Mahathir, anak mantan Perdana Menteri keempat yang tewas dalam perebutan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO. Kini beliau lebih selesa kerana tidak perlu memikul tanggungjawab dalam Pemuda tetapi mempunyai kedudukan sebagai Timbalan Menteri. Apakah yang mendorong beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri? Awal-awal lagi beliau juga dilihat sebagai bersih malah berani memberikan pandangan yang tidak popular. Adakah hanya kerana itu sahaja beliau turut mendapat pelantikan itu atau kerana hubungan ayahandanya dengan Najib. Tun Mahathir menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau mempunyai hubungan dalam pelantikan itu. Cuma ibarat ayah yang marah kepada anaknya, ayah berdehem, anak sudah tahu ayahnya marah.

Ke mana KJ selepas ini? Kedudukan beliau mungkin sukar dalam status quo sekarang. Dua rakan Pemuda beliau, Dato’ Razali dan Dato’ Mukhriz akan dapat terus memperkukuh kedudukan dalam Pemuda UMNO. Kalau status quo ini berterusan amat sukar untuk beliau mempertahankan kedudukan beliau dalam pemilihan jawatan Ketua Pemuda akan datang.

Apakah dengan tidak melantik KJ memegang sebarang jawatan dalam Kabinet sesuatu yang adil kepada KJ? Mungkin ini merupakan tindakan yang tidak adil kepada KJ tetapi mungkin wajar. Wajar kerana pelantikan KJ mungkin akan dipersoalkan oleh pelbagai pihak baik dalam UMNO mahupun di luar UMNO. Malah pengkritik paling lantang mungkin akan datang daripada mantan Perdana Menteri keempat. Pada waktu Najib berhadapan dengan pelbagai rintangan baik secara politik mahupun ekonomi, Najib tidak mampu untuk tidak mendapat sokongan mantan Perdana Menteri itu. Tidak adil pula kerana beliau adalah Ketua Pemuda UMNO. Tanpa memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sukar bagi KJ bekerja untuk memperkukuhkan Pemuda UMNO yang merupakan sayap penting kepada UMNO. Malah sesetengah pihak terutamanya yang bersimpati kepada KJ melihatnya sebagai tindakan untuk memencilkan KJ daripada hararki kepimpinan UMNO. Ini juga akan membuka ruang untuk terbentuknya dua team dalam Pemuda dan seterusnya dalam UMNO. Satu team yang akan menyokong arus perdana Pemuda dengan Dato’ Razali dan Dato’ Mukhriz sementara satu team lagi yang memberikan sokongan kepada KJ. Ada kemungkinan pula pihak-pihak yang kecewa tidak dilantik dalam Kabinet walaupun memenangi jawatan Majlis Tertinggi akan turut menyokong team ini. Ini adalah kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku kerana dalam politik khususnya politik UMNO hatta prinsip akhirnya berkhidmat untuk rakyat teras kepaduannya masih lagi soal ganjaran dan apa yang bakal diperolehi. Bagi KJ pula, jalan politik bagi anak muda yang bercita-cita besar ini semakin sukar, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Isnin, 13 April 2009

KE MANA UMNO SELEPAS BUKIT GANTANG?

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dipetik sebagai berkata ‘ Kemenangan BN di Batang Ai merupakan undi percaya kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri baru’. Maknanya jika BN tewas di Batang Ai kata-kata itu bermaksud ‘ kekalahan itu merupakan undi tidak percaya kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri baru’. Dalam konteks PRK Bukit Selambau dan Bukit Gantang pada 7 April 2009 yang mana BN tewas, maka bolehkah kenyataan KM Sarawak itu terpakai? Kalau menggunakan standard yang sama bermakna rakyat di dua bukit ini memberikan mesej bahawa Najib telah ditolak sebagai Perdana Menteri.

Mengapakah BN masih tewas sedangkan beberapa perkembangan akhir menjelang PRK di Bukit Gantang dan Bukit Selambau seolah-olah menunjukkan tanda positif sementara formula telah dirintis untuk memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional. Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa mengatakan bahawa badan ini bebas dalam melaksanakan tanggungjawabnya, pemilihan tarikh pilihan raya itu sendiri telah memberikan tanggapan awal bahawa badan ini cenderung untuk menyokong Barisan Nasional. Mengapakah tarikh pilihan raya dipilih hanya selepas UMNO menamatkan Perhimpunan Agungnya? Mengapakah SPR lari daripada kelaziman mengadakan pilihan raya pada hari minggu yang memungkinkan lebih ramai pengundi muda dari luar boleh pulang mengundi sebaliknya diadakan pada hari Selasa? Mengapakah pada lazimnya SPR hanya mengizinkan hanya parti bertanding menggantung bendera dan logo mereka tetapi pada kali ini parti-parti komponen Barisan Nasional diizinkan menggantung bendera mereka dengan alasan parti itu merupakan gabungana rasmi tidak sebagaimana parti-parti dalam Pakatan Rakyat? Walau apapun jawapan SPR, rakyat sudah awal-awal melihat ketidakadilan SPR dalam melaksanakan tanggungjawab mereka lalu membuat tanggapan bahawa SPR secara sengaja memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional.

Perkembangan Akhir Positif untuk UMNO
Selain itu beberapa perkembangan akhir telah menjadikan pemimpin Barisan Nasional dan khususnya UMNO untuk berasa yakin bahawa kemenangan berpihak kepada mereka. Pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri telah memberikan semangat baru terutama apabila beliau memperkenalkan pendekatan ‘Satu Malaysia’ dan demokrasi yang lebih luas. 13 orang tahanan ISA segera dibebaskan dan beliau berjanji akan menyemak semula Akta Keselamatan Dalam Negeri itu. Dua media Pakatan Rakyat, yang kira-kira seminggu sebelum itu dibatalkan permitnya juga oleh Menteri UMNO telah dibenarkan untuk terus terbit. Ini merupakan tindakan yang amat positif menjelang PRK. Apakah tindakan-tindakan pertama ini masih tidak cukup untuk membina imej yang lebih positif kepada Barisan Nasional? Harapan dan semangat petugas-petugas BN semakin terbina apabila buat pertama kalinya selepas Pilihan Raya Umum ke-12 Tun Mahathir Mohamed telah menawarkan diri untuk berkempen. Kehadiran beliau di Bukit Gantang dan Bukit Selambau mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan rakyat. Secara tiba-tiba beliau dilihat sebagai hero dan penyelamat Barisan Nasional.

Akhirnya segala perkembangan akhir dan formula kemenangan yang terlihat itu masih palsu dan Barisan Nasional tewas di dua bukit tetapi masih menang di Batang Ai. Malah tewasnya BN dalam PRK di Bukit Selambau dan Bukit Gantang merupakan mesej kuat yang tidak boleh sama sekali ditutup dengan apa alasan sekalipun. Di Bukit Gantang majoriti PAS telah meningkat dari 1,566 dalam PU 12 kepada 3,403 iaitu hampir sekali ganda, sementara majoriti PKR di Bukit Selambau meningkat dari 2,362 kepada 2,403. Walaupun BN kelihatan bekerja kuat di kedua-dua kawasan ini tetapi terlihat bahawa BN lebih mengharapkan kemenangan di Bukit Selambau. Ini memandangkan kawasan ini lebih kecil dengan jumlah pengundi yang tidak sebesar Bukit Gantang, apatah lagi negeri Perak lebih panas berbanding Kedah. Lantaran itu BN dikatakan telah menaja calon-calon bebas di sini walaupun ini tidak dapat dibuktikan secara realiti. Walaupun begitu beberapa calon bebas di Bukit Selambau kelihatan mempunyai dana yang besar sehingga mampu menandingi BN dan PKR kalau dinilai berdasarkan poster, bendera dan edaran. Tidak pernah berlaku di Semenanjung Malaysia calon-calon bebas boleh turut memenuhkan seluruh kawasan pilihan raya dengan bendera, kain rentang dan sepanduk mereka. Jika benar andaian bahawa calon bebas ditaja oleh Barisan Nasional untuk memecahkan undi, terbukti strategi ini tidak berkesan malah perkiraan yang salah. Salah seorang calon bebas yang merupakan bekas ahli UMNO telah berjaya mengumpul 528 undi yang mungkin undi ini seharusnya pergi kepada BN. Pada masa yang sama juga tidak dapat dibuat andaian bahawa jika tidak ada calon bebas ke manakah akan perginya keseluruhan undi untuk calon bebas yang berjumlah 1326? Adakah jumlah ini boleh mengurangkan majoriti menang PKR atau berupaya meningkatkan majoriti tewas BN? Yang pasti dengan andaian setiap calon bebas berbelanja kira-kira RM 50,000 maka jumlah belanja calon bebas ini kira-kira RM 650,000. Walaupun sukar untuk menentukan jumlah belanja sebenar mereka, yang pasti beberapa calon bebas memang berbelanja lebih daripada jumlah tersebut. Dari manakah sumber pembiayaan calon-calon bebas ini?

Adakah PRK Ini Referendum Rakyat?
Beberapa tanggapan awal adalah bahawa PRK ini boleh menjadi referendum ataupun pungutan suara terhadap kepimpinan baru Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia. Bolehkah keputusannya dianggap sebagai referendum? Jawapannya mungkin ya dan mungkin tidak bergantung kepada siapa yang berkata. Sesuatu yang positif telah ditunjukkan oleh RTM 1 pada malam keputusan pilihan raya. Tidak pernah sama sekali RTM menyiarkan secara langsung keputusan pilihan raya pada waktu Barisan Nasional tewas, melainkan jika BN menang dalam pilihan raya itu. Cuma pada malam itu siaran langsung telah diadakan ini adalah suatu langkah awal yang positif daripada RTM. Cuma sayangnya langkah positif ini menjadi pincang kerana RTM telah mengundang penganalisis yang tidak objektif dalam peniliannya terhadap 3 PRK kecil itu.

Penganalis itu seolah-olah menganggap keputusan di Batang Ai sebagai referendum bahawa rakyat menerima pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri lalu rakyat Sarawak dianggap bijak. Walaupun begitu beliau tidak pula menganggap keputusan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau sebagai referendum tetapi mendakwa bahawa rakyat telah memilih berdasarkan emosi kerana termakan dengan pujuk rayu pimpinan Pakatan Rakyat. Najib pula dikatakan baru sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri. Tentunya kata-kata beliau akan berbeza jika BN menang di dua kawasan tersebut. Pengundi di dua kawasan ini pula seolah-olah tidak sebijak pengundi di Sarawak sedangkan beliau telah menggunakan kayu ukur yang berbeza. Sikap seumpama ini sebenarnya menyebabkan rakyat tidak senang dengan liputan RTM hatta telah berlaku perubahan daripada segi pendekatan oleh RTM.

Kembali kepada persoalan sama ada ketiga-tiga PRK kecil ini boleh dianggap sebagai referendum. Secara objektifnya jawapannya masih ya. Pengundi Batang Ai menolak PKR yang bermakna jalan untuk PKR bertapak di Sarawak masih jauh dan masih banyak yang perlu dilakukan. Untuk beberapa tahun akan datang dapat disimpulkan bahawa BN masih dapat bertapak kukuh di Sarawak dan banyak kerja yang perlu dilakukan oleh PKR jika mereka mahu bertapak di Sarawak. Bagaimana pula mesej di Bukit Gantang dan Bukit Selambau? Sememangnya sama ada diakui oleh tidak, pada ketika ini rakyat menolak Najib. Maka banyak kerja rumah yang perlu dilakukan oleh Dato’ Seri Najib untuk memulihkan sokongan rakyat kepada beliau. Referendum yang lebih ketara adalah isu peralihan kuasa di Perak. Memandangkan Bukit Selambau tidak begitu jauh daripada Bukit Gantang, isu peralihan kuasa ini masih relevan. Secara umumnya pengundi menolak peralihan kuasa yang berlaku di Perak lalu memberikan pengabsahan yang lebih besar kepada Dato’ Seri Nizar. Rakyat terutamanya di Bukit Gantang merasakan bahawa tindakan BN dalam isu ini adalah tidak adil sama sekali kepada Dato’ Seri Nizar dan kerajaan Pakatan Rakyat.. Tambahan pula tindakan agresif pihak polis seperti semburan air dan tembakan gas pemedih mata dalam perhimpunan rakyat di Bukit Selambau dan Bukit Gantang menjelang hari penamaan calon bukan sahaja memberikan pengalaman baru kepada penduduk di utara malah menimbulkan kemarahan baru kepada BN.

Ke Mana UMNO Selepas Ini?
Ke mana UMNO selepas ini dan masihkah UMNO relevan dalam suasana politik hari ini. YB Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP, mencadangkan parti berasaskan ras dan bangsa seumpama UMNO dibubarkan. Pembubaran atau gabungan menjadi parti yang lain bukan formula yang terbaik kepada UMNO. UMNO masih relevan dan masih punya masa hadapan cuma beberapa perubahan besar perlu dilakukan oleh UMNO. Perubahan dengan penjemaan semula mahupun pakaging semula UMNO tidak akan menyelesaikan masalah kalau pengisiannya masih sama. Apa yang diperlukan oleh UMNO adalah perubahan pemikiran oleh kepimpinannya daripada atasan, pertengahan dan bawahan. Hari ini rakyat bukan mahu sebuah parti yang hanya bercakap tentang kepentingan kaum mahupun kepentingan pembangunan. Paling kurang ada tiga prinsip yang perlu UMNO nilai semula iaitu demokrasi dan pendemokrasian, hak rakyat serta keadilan untuk semua. Rakyat semakin tahu tentang hak mereka untuk bersuara dan menilai apa yang salah dan betul oleh pemimpin baik parti mana sekalipun. Mereka tidak seharusnya dihalang daripada mendapat dan menilai apa sahaja maklumat. Rakyat mahu agar hak mereka mendapat pembangunan dihormati hatta di mana mereka berada, apa agama mereka dan apa fahaman politik mereka. Rakyat mahukan keadilan dan ketelusan dalam semua aspek kehidupan tanpa sesiapa pun, terutamanya ahli politik mendapat keistimewaan. Kerap-kerap keistinewaan itu hanya kepada pemimpin dalam Barisan Nasional.

Sanggupkah UMNO berubah? Perubahan ada kosnya. Perubahan mungkin boleh memberikan kelangsungan survival politik UMNO dalam jangka masa panjang tetapi mungkin juga bermakna UMNO akan kehilangan sebahagian daripada kuasa politiknya dalam jangka masa pendek.