Selasa, 22 Februari 2011

Mahasiswa: Label ‘Pro-Mahasiswa’ atau ‘Pro-Aspirasi’?


Media hari ini, sama ada media bercetak mahupun media atas talian, ghairah melaporkan pilihan raya memilih Majlis Perwakilan Pelajar di universiti-univeristi awam. Laporan terkini sehingga 22 Februari 2011, dikatakan dengan kumpulan Pro-M dikatakan menguasai UM dan UKM sementara kumpulan Pro-Aspirasi dikatakan menguasai UPM, USM dan UTM. Penulis semenjak dahulu lagi terasa kurang selesa dengan label yang diberikan kepada kumpulan pelajar ini.

Apakah yang dimaksudkan dengan label-label ini? Pro-M diasosiasikan dengan sikap anti-establishment sementara Pro-Aspirasi dikatakan lebih cenderung menyokong dasar-dasar kerajaan. Mungkin juga label ini diberikan kerana kecendurungan kumpulan pelajar terhadap bersetuju atau tidak dengan dasar-dasar establishment ataupun mungkin juga berdasarkan sejarah kumpulan yang sebelum ini mempunyai asosiasi dengan kepimpinan politik tertentu. Apa juga latar belakang yang membina cop dan label ini sesungguhnya pelabelan ini memberikan impak negatif terhadap kumpulan pelajar yang sedang dididik sebagai bakal kepimpinan negara masa hadapan.

Institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta adalah ibarat ketuhar yang apabila dibuka akan mengeluarkan kek yang harum dan enak dimakan. Ilmu yang dijana sama ada di bilik kuliah mahupun melalui aktiviti ko-kurikulum akan menambahbaikkan ramuan ke arah melahirkan hidangan terbaik. Sesungguhnya politik di kampus bukan sesuatu yang mencacatkan perjalanan untuk melahirkan produk yang baik malah politik kampus berupaya menambahbaikkan kematangan pelajar. Berpolitik di kampus, memilih dan terpilih untuk menjadi pemimpin lalu seterusnya memimpin pelajar di kampus melatih pelajar untuk peka terhadap hal persekitaran kampus juga hal-hal di luar kampus. Pelajar akan belajar cara dan kaedah berpolitik yang berhemah dalam kampus lalu seterusnya bersama-sama menanggani isu dan hal-hal semasa dalam kampus universiti. Lalu mereka juga akan dan perlu peka terhadap hal-hal di luar kampus agar mereka mengetahui apa yang berlaku di luar baik dalam negara mahupun luar negara.

Pada peringkat ini, mahasiswa tidak memerlukan pautan atau asosiasi politik dengan mana-mana parti politik, tanpa mengenetipikan hak mereka untuk mengenal malah mengundang ahli politik untuk memberikan pandangan di universiti. Cuma itu harus dilakukan dengan fikiran terbuka bahawa pandangan ahli politik itu mahu didengar bukan kerana asosiasi dengan sesuatu parti politik. Undangan itu harus adil tanpa kecenderungan kepada mana-mana paksi politik negara. Mengapa? Pada peringkat ini biarlah mahasiswa dilatih untuk berfikir secara rasional, mematangkan diri, membina siasah politiknya sendiri dan nanti apabila mereka sudah menggenggam ijazah terpulanglah kepada mereka kalau mahu berijtihad dengan mana-mana parti politik.

Mengapa Pro-M dan Pro-Aspirasi? Di luar universiti sudah cukup besar peperangan politik antara dua paksi politik sehingga berpolitik menjadi aktiviti harian sepanjang tahun. Politik di Malaysia tidak tamat selepas sesuatu pilihan raya umum. Politik di Malaysia berturutan dari satu pilihan raya umum ke pilihan raya umum berikutnya dengan pilihan raya kecil umpama perang-perang kecil menjelang pilihan raya umum berikutnya. Sehingga kadangkala pemimpin politik tidak dapat membezakan antara peranan sebagai ahli politik dengan tugas sebagai pemimpin negeri dan negara. Sementara mahasiswa di universiti mempunyai dua amanah besar, iaitu amanah ayah ibu yang mahupun mereka menggulung ijazah dan amanah untuk sama-sama memimpin rakan sebaya mereka di universiti. Dua amanah ini sudah cukup besar tanpa memerlukan mereka terlibat secara langsung dengan politik negara. Hatta sesungguhnya, ini tidak sama sekali untuk menghalang mereka memberikan pandangan positif tentang hal-hal dasar dan keperihatinan terhadap politik negara, walaupun kadangkala pandangan itu tidak menyenangkan pemerintah. Cuma mahasiswa perlu belajar memberikan pandangan secara objektif sesuai dengan nuasa mereka yang berilmu.

Sekali lagi, mengapa Pro-M dan Pro-Aspirasi? Penulis mengira mahasiswa sendiri kurang senang dengan label ini. Mahasiswa bertanding dalam pilihan raya kampus untuk memilih kepimpinan di kalangan mereka di universiti, yang mana mereka belajar untuk menjadi pemimpin. Tidak ada label atau cop di dahi mana-mana pelajar sama ada Pro-M mahupun Pro-Aspirasi. Malah hasrat mereka di universiti jauh lebih murni kerana memilih wakil untuk menduduki MPP di universiti tidaklah seumpama memimpin parti politik negara yang habuannya jauh lebih lumayan. Apakah langkah seterusnya? Pertama, media sendiri harus berhenti memberikan label kepada mahasiswa. Keduanya, mahasiswa sendiri harus menentang dan membantah pelabelan ini, dan memimpinlah dengan penuh iltizam ilmu tanpa kecendurungan dengan mana-mana parti politik.

Ahad, 20 Februari 2011

'Pluralisme' yang Mengancam Islam


Mungkin ramai yang masih asing dengan istilah 'pluralisme' cuma di kalangan cendekiawan Muslim istilah ini tidak lagi asing. Malah pada 14 Disember 2010 telah dianjurkan wacana 'Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan' di Masjid Wilayah Persekutuan, dengan antara pembentang kertas kerja adalah Dr.Yusri Mohamad mantan presiden ABIM ke-6, Dr.Muhammad Uthman El-Muhammady dan ramai lagi ilmuan Islam tempatan.

Tiga perkara diputuskan dalam wacana itu iaitu; Pertama, pihak berkuasa Agama di semua peringkat di Malaysia, wajar memantau Gerakan Pluralisme Agama ini dan mengambil langkah mencegah dengan apa cara sekali pun.

Kedua, pihak berkuasa Agama wajar memanggil individu atau Jawatankuasa Organisasi yang menganut faham Pluralisme Agama ini, untuk diberi kaunseling, nasihat dan ajaran mengenai ‘Aqidah Islam yang sebenar.

Dan ketiga, pihak berkuasa Agama yang boleh memboleh memberi fatwa, iaitu majlis fatwa (peringkat Kebangsaan dan negeri-negeri) supaya segera memberi fatwa yang lebih jelas mengenai faham atau ideologi pluralisme agama.

Ringkasnya mempercayai, menyetujui, mempertahankan dan meredai Pluralisme hukumnya haram. Pada waktu kita tidak menghalang penganut agama lain untuk berpegang kepada kepercayaan lain, ijtihad, pegangan dan kepercayaan kita hanyalah bahawa Allah itu Esa, Muhammad itu Rasulnya dan tidak ada agama tauhid di muka buminya selain Islam, tidak ada agama setara Islam.


Subhanallah. Laila' ha'ilalallah!

Selasa, 8 Februari 2011

Bicara bersama al-Mubaraq


Sudah acap-acap kali

hadir seperti lazimnya tidak terzahir

indah-anggun bagai bidadari lena

beban sarat dengan manikam

dijaja dari Adam ke qalam

muatannya terus-terus melimpah

usahkan susut usahkan kontang

hanya satu kali terjadi

salam Israel tanpa barakah

hadir yang terakhir bagi pertama

Sabtu, 5 Februari 2011

Mesir yang Bergolak, Bagaimana Adik-adik Kita?

Mesir bergolak, rakyat menuntut perletakan jawatan presidennya. Rasanya keadaan akan semakin genting dalam beberapa hari akan datang. Kerajaan Malaysia telah mengerahkan tenaga, hubungan, dan pelbagai usaha untuk membawa kira-kira 11,000 rakyat Malaysia pulang.

Ketika keadaan genting, bukanlah mudah untuk membawa rakyat kita pulang dengan segera. Hubungan kerajaan dengan kerajaan masih perlu dijaga. Justeru adalah langkah kurang bijak beberapa parti politik berdemonstrasi untuk menyuarakan sokongan terhadap rakyat Mesir. Mengapa?

1. Masih ramai rakyat kita di Mesir. Apa akan terjadi kalau kerajaan Mesir mempersusahkan usaha membawa keluar rakyat kita?
2. Bagaimana kalau parti yg berdemo itu berkuasa dan Presiden Hosni atau sekutunya terus berkuasa? Adakah akan berlaku permusuhan antara Malaysia dan Mesir.

Ingatlah bahawa di Mesir itu adalah anak-anak kita termasuk keluarga mereka yang berdemo.