Rabu, 21 Januari 2009

Israel-Palestin: Satu catatan untuk renungan

Persengketan Israel dan Palestin bukan isu baru. Seluruh dunia sudah tahu. Cuma mengapa sebuah negara sekecil Israel menjadi begitu angkuh dan begitu kuat. Itu juga orang sudah tahu jawapannya; kerana mereka disokong oleh kuasa yang paling kuat di dunia: Amerika Syarikat. Israel dan Amerika Syarikat tentunya sinonim. Malah lebih tepat lagi Israel dan Presiden Amerika sinonim. Tidak ada calon presiden Amerika Syarikat yang akan menang tanpa sokongan dan kuasa lobi orang Yahudi. Apa yang akan kita harapkan daripada Obama? Jangan terlalu mengharap kerana tidak banyak bezanya siapa sahaja yang menjadi presiden Amerika ini.

Cuma renung tiga perspektif tentang Israel dan Palestin ini, iaitu tentang tanah Gaza, tentang orang Yahudi dan tentang apa yang telah terjadi.

Tanah Gaza
Gaza atau Semenjung Gaza, adalah antara kota yang tertua di dunia. Kota ini menjadi pusat persinggahan perdagangan sejak dahulu lagi yang menjadi perantara antara Mesir dan Syam (Syria). Gaza ini juga disebut Gaza Hashim sempena nama Syed Hashim ayah kepada Abdul Mutalib. Kita tentu ingat bahawa Abdul Mutalib adalah datuk Rasullullah (S.A.W) yang memelihara baginda. Pada zaman perkembangan Islam, Gaza telah ditawan oleh Amru al-As dan Gaza telah menjadi sebahagian daripada kerajaan Islam. Yang lebih signifiken adalah bahawa Gaza ini adalah tanah kelahiran Imam Shafie. Gaza adalah sebahagian daripada Palestin yang sebahagian lagi adalah Tebing Barat. Israel telah memisahkan Gaza dengan Tebing Barat. Baitulmuqadis, kiblat pertama orang Islam terletak di tanah Palestin ini.

Orang Yahudi
Banyak yang boleh diperkatakan tentang orang Yahudi ini. Dalam al-Quran pun banyak menyebut kisah orang Yahudi dengan nabi-nabi. Cuma saya ingin memilih dua anekdot tentang orang Yahudi ini. Pertama, bahawa orang Yahudi ini mengaku mereka sebagai bangsa pilihan Tuhan, bermakna bangsa yang paling mulia. Mereka menganggap bangsa lain tidak semulia dan tidak setaraf dengan mereka. Justeru itu bagi mereka, halal darah bangsa lain melainkan darah bangsa Yahuhi. Mereka boleh membunuh siapa sahaja tanpa rasa bersalah. Maka tidak menghairankan mereka boleh membunuh siapa sahaja di bumi Gaza hatta kanak-kanak dan orang awam. Keduanya tentang satu falsafah orang Yahudi yang berbunyi: kalau orang tampar pipi kanan anda sekali, balaslah dengan sepuluh kali tamparan. (kalau orang Inggeris pula, Kalau orang menampar pipi kanan anda sekali, balaslah dengan menampar pipi kirinya. Kalau orang Islam: Kalaulah orang menampar pipi kanan anda, balaslah dengan menampar di pipi kanan sekali juga. Tetapi sesungguhnya memaafkan adalah lebih baik).

Maknyanya orang Yahudi akan membalas sepuluh kali lebih dahsyat dengan apa yang berlaku kepada mereka. Kalau orang Palestin menembak satu roket ke Israel mereka akan membalas dengan paling kurang 10 roket yang kuasanya lebih dahsyat. Itulah falsafah orang Yahudi yang tidak diketahui ramai. (nak tau lebih lanjut baca buku falsafah Yahudi)

Apa Berlaku di Gaza
Adakah Israel menyerang bumi Gaza habis-habisan hanya kerana Hamas mula menyerang mereka kembali? Mengapa mereka memilih tarikh itu dan mengapa Tebing Barat tidak diserang? Serangan atas bumi Gaza adalah serangan secara terancang. Selama 18 bulan Israel telah mengepung bumi Gaza dan bukan sekadar menghalang kemasukan senjata malah menghalang segala-galanya masuk ke Semenanjung Gaza. Gaza telah menjadi penjara terbesar di dunia dengan seramai 1.5 juta manusia terkepung. Kepungan selama 18 bulan ini menyebabkan ekonomi di Gaza lumpuh. Israel hanya bersetuju menamatkan kepungan jika Gaza diserahkan kepada Mahmood Abas dan kumpulan Fatah. Kepungan ini menyebabkan segala-gala terhalang masuk ke Gaza dan menyebabkan pengangguran kira-kira 50%. Petani di Gaza juga tidak dapat menjual hasil mereka keluar daripada Gaza. Kehidupan menjadi terlalu susah kerana makanan pun susah dibawah masuk. Masyarakat yang terkepung dan tertindas ini terpaksa mencari jalan keluar. Ini menyebabkan mereka membina terowong-terowong keluar dari Gaza. Dari terowong inilah keperluan harian dibawa masuk ke Gaza. Jadi antara matlamat serangan Israel selain membunuh pemimpin Hamas ialah menghancurkan terowong-terowong ini.

Apakah yang berlaku setelah Israel mengepung Semenanjung Gaza selama 18 bulan? Pada 27 Disember 2008, dua hari menjelang 1 Muharam 1430 (tarikh yang sengaja dipilih mereke) , 3 minggu sebelum Bush meletakkan jawatan sebagai presiden Amerika Syarikat, Israel telah menyerang Gaza dari segala sudut dengan menggunakan segala kekuatan mereka. Serangan udara berlaku dari Laut Mediteranean dengan kapal-kapal perang, serangan udara menggunakan jet pengebom F-16 dan serang darat menggunakan tank. Bayangkan segalanya jenis bom yang menghujani Gaza dari segala penjuru selama 10 hari 10 malam. Setelah kira-kira 10 hari dihujani dengan bom, setelah segala pusat ketenteraan Hamas diletupkan, setelah segala kemudahan awam dihancurkan, segala-gala tanpa mengira rumah dan hospital dimusnahkan, Israel menghantar tentera daratnya bersama kereta perisai dan jentolak masuk ke wilayah Gaza. Mana-mana pejuang Hamas atau yang dianggap pejuang Hamas yang ditemui masih hidup, akan ditembak mati. Kemasukan tentera Israel ke Gaza ini dengan seluruh kekuatan tentera daratnya malah Israel juga telah mengarahkan seluruh tentera simpanannya untuk turut serta. Bayangkan betapa besar dan kuatnya pasukan tentera darat ini.

Mengapa jentolak dibawa? Jentolak ini digunakan untuk menolak mayat-mayat ke dalam lubang besar. Semua mayat yang bertaburan tanpa mengira pejuang mahupun orang awam ditolak dengan jentolak ini. Begitulah zalimnya Israel ini.

Setelah 22 hari baru Israel menghentikan serangan dan mengumumkan gencatan senjata. Apa telah terjadi setelah serangan 22 hari ini? Segala-galannya sudah musnah di Gazza. Yang mati sahaja tidak kurang daripada 1300 orang dan sebahagian besarnya kanak-kanak dan wanita. Tidak ada keluarga yang tidak kehilangan anggotanya. Yang cedera pula beribu-ribu orang. Rumah, sekolah, hospital, balai bomba, sebut sahaja apa, segala-galanya musnah. Semenanjung Gaza menjadi padang jarak padang tekukur, umpama negera yang dilanggar geruda.

Apa yang perlu kita lakukan? Israel tidak akan berhenti kerana mereka terus disokong oleh Amerika Syarikat. Israel tidak akan berhenti kerana mereka mahukan tanah baru untuk rakyat mereka. Israel tidak akan berhenti kerana mereka tahu negara-negara Arab tidak akan bersatu untuk menentang mereka. Israel tidak akan berhenti kerana mereka adalah Israel.

Selasa, 13 Januari 2009

Langit Gaza Bumbung Rumahku



ayah dan ibuku

tanah Gaza Hashim ini pertiwiku

di makam Masjid al-Sayed Hashim tersemadi

ayahanda Abdul Mutalib yang memayungi kekasih Allah

pasir tandus ranumsubur dijejaki Amru al-As

tanah tumpah darah Imam as-Syafie



di Gaza ini rinduku pada ibunda

di Gaza ini rinduku pada ayahanda

di Gaza ini rinduku pada ninda- kakanda-adinda-saudara

yang gugur semenjak tanah Palestin ini

diletakkan dalam dulang perak resolusi 181

mohor peta Yahudi pada 14 Mei 1948


ayah dan ibuku

ingatlah tanggal ini berkali-kali

Maal Hijrah 1430, I Muharam

tahun baru al-Masih 2009

bumbung Gaza rumahku runtuh lagi

hujan besi menderu bagai musim salji

dari udara, darat dan Laut Mediterranean

bom mekar di seluruh bumi Gaza

hemburan onar F-16-Apache-Merkava-armada

peluruh berpandu tanpa mata mengamuk gila

sepuluh hari sepuluh malam Muharam yang panjang

lalu ditelusuri kereta perisai dan laskar Yahudi

menamatkan apa sahaja nyawa yang tersisa

lalu jentolak menolak mayat-mayat ke lubang besar


tolonglah ayah dan ibuku

unjukkan kami lorong keluar penjara besar ini

tembuk aparteid mendakap seluruh kehidupan

memotong hayat antara Gaza dan Tebing Barat

babul Rafah berduri yang berhantu

simbol kesetiaan Mubarak kepada Jerusalam


Gaza ini pentas teater kematian

ayah mendukung tubuh kecil kaku bermandi darah

ratusan anak tadika yang berkapan putih

45 anak-anak di khemah PBB Jabaliya tubuh berkecai

pusat perlindungan anak-anak Khan Yunus yang diletupkan

seluruh dua belas sekeluarga di Dier al-Balah ditamatkan hayat

kematian adalah jiran yang ramah

nostalgia Sabra-Chatila dengan 1700 korban

setamah khemah Qana PBB yang diletupkan

ulangtayang penyembelihan Marwin


titisan darah Ya’acob itu membedek tanpa hati

lantaran nyawa titisan Ibrahim semurah sebutir peluru

halal darah mereka kepada ksyateria Yahudi

bangsa Brahma pilihan Tuhannya

pantang kautampar pipiku sekali

aku kembalikan sepuluh tamparan di pipimu

kamu hanyalah Palestin sedangkan anbiya kunyahkan


ayah dan ibuku

bumi Gaza sudah mati lalu mati sekali lagi

pepohon tersedak mengelupur tercium jebat Yahudi

awan putih fosferus menggigit hancur kulit ke tulang

menggelupur tubuh-tubuh anak Adam

mata air terhenti mengalir di kolam-kolam

ketuhar roti tak berisi hatta yang berbaris panjang

bumi disetangikan dengan bau mayat reput

korban di hospital mengerang tanpa ubat

yang bersisa padaku adalah cinta kepada Rasullullah

yang harum padaku adalah kasih kepada bumi Baitulmuqaddis


ayah dan ibuku

talkinkanlah rohku ini

tanah Gaza ini adalah bumiku

langit Gaza ini adalah bumbung rumahku

tanah Gaza ini adalah kuburanku


Ishak Hamzah
Bandar Tun Razak, 11 Januari 2009