Isnin, 16 Jun 2008

Suara rakyat dari Masjid Kampung Baru






(untuk para pendemostrator pada 13 Jun 2008)

Rakyat itu sudah marah
kecewa, geram, sakit hati,
hati mereka sudah semakin terhiris,
poket mereka semakin bocor

setelah solat jumaat
setelah menghadap Illahi
setelah mengaminkan syukur
mereka berkumpul di hadapan Masjid Kampung Baru
Turunkan harga minyak!
Turunkan harga minyak!
rakyat itu berarak ke Jalan TAR
setelah terhalang ke KLCC

Rakyat itu semakin marah
pak cik tua berkupiah
anak muda berkain rentang
anak gadis mungkin pelajar IPTA
apek tua berwajah penanam sayur
mereka wajah-wajah rakyat

dari Masjid Jamek Kampung Baru
dari Jalan Tunku Abdul Rahman
berdiri di hadapan Sogo
berjalan lagi ke ibu pejabat PAS
berhenti dan berteriak lagi
mereka berdemo dengan diiringi
pegawai-pegawai polis yang baik hati

demontrasi itu cukup aman
hatta hati mereka tidak aman
demonstrasi mereka cukup teratur
hatta fikiran mereka makin terganggu
jumlah mereka mungkin 3,000
tapi mereka bawa suara 25 juta
mereka disorak penjalan kaki
mereka dilambai penumpang bas
mereka disapa penjual dan pekedai

tika berhenti di Markas PAS
jumlahnya tetap tak berkurang
malah rakyat semakin ramai
menghulur empati bersama rakyat
lalu cepat-cepat harus bersurai
waktu FRU mula membuat barisan

hari ini rakyat semakin marah
kerana hujung bulan poket semakin kering
untuk meneruskan hidup yang semakin sukar

16 Jun 2008






Khamis, 5 Jun 2008

hadiah untuk rakyat tersayang

(sempena kenaikan harga minyak oleh Pak Lah)

suaranya mengalir deras
bicaranya tenang amat
bicaranya senang amat
tanpa bersalah sekelumit
isi tuturnya bagai bom berangkai
mengoncang isi negara
minyak naik harga lagi
minyak naik 78 sen mulai 12 malam
dulu RM1.92 kini RM 2.70
hadiah pilihan raya ke-12 Barisan Nasional

PM ini pembina monumen sejarah
mencatat sejarah hilang kebal BN
mencatat sejarah hilangnya 2/3 majoriti
mencatat sejarah minyak negara
tak pernah naik 40 persen
minyak termahal negara OIC
harus dilakar dalam Malaysia Book of Record
tahniah PM

pemimpin rakyat ini benar-benar rakyat
gula diberi tuba dituang
minyak naik subsidi diberi
RM 625 tapi bertemu kita di JPJ
RM150 tapi datanglah ke JPJ setahun lagi
semuanya untuk mengubati luka rakyat

jangan risau wahai rakyatku
harga minyak akan dikaji
menjelang Ogos harga baru
akan dinaikkan sekali lagi

terima kasih PM


5 Jun 2008

Lagu Rindu

andai air dapat kuuli
kuukir jadi arca rindu

andai mentari dapat kubelai
kusulam jadi jemari rindu

andai angin dapat kusapa
kutiup jadi sutera rindu

andai awan dapat kukucup
kuhampar jadi kasturi rindu

rinduku mekar segar semerbak firdaus
meresap sayu menyapa hati gundah
bergurau sendu membelai kasih

rindu ini mengalir salju putih lembut
mengisi lopakruang kering lesusegar
menghijau dedaun keringmati subur

rinduku untuk ibu ayah isteri anak-anak
rindu segarku untuk seisi alam
rindu hatiku milik siapa lagi

30 April 2008