Isnin, 16 Jun 2008

Suara rakyat dari Masjid Kampung Baru






(untuk para pendemostrator pada 13 Jun 2008)

Rakyat itu sudah marah
kecewa, geram, sakit hati,
hati mereka sudah semakin terhiris,
poket mereka semakin bocor

setelah solat jumaat
setelah menghadap Illahi
setelah mengaminkan syukur
mereka berkumpul di hadapan Masjid Kampung Baru
Turunkan harga minyak!
Turunkan harga minyak!
rakyat itu berarak ke Jalan TAR
setelah terhalang ke KLCC

Rakyat itu semakin marah
pak cik tua berkupiah
anak muda berkain rentang
anak gadis mungkin pelajar IPTA
apek tua berwajah penanam sayur
mereka wajah-wajah rakyat

dari Masjid Jamek Kampung Baru
dari Jalan Tunku Abdul Rahman
berdiri di hadapan Sogo
berjalan lagi ke ibu pejabat PAS
berhenti dan berteriak lagi
mereka berdemo dengan diiringi
pegawai-pegawai polis yang baik hati

demontrasi itu cukup aman
hatta hati mereka tidak aman
demonstrasi mereka cukup teratur
hatta fikiran mereka makin terganggu
jumlah mereka mungkin 3,000
tapi mereka bawa suara 25 juta
mereka disorak penjalan kaki
mereka dilambai penumpang bas
mereka disapa penjual dan pekedai

tika berhenti di Markas PAS
jumlahnya tetap tak berkurang
malah rakyat semakin ramai
menghulur empati bersama rakyat
lalu cepat-cepat harus bersurai
waktu FRU mula membuat barisan

hari ini rakyat semakin marah
kerana hujung bulan poket semakin kering
untuk meneruskan hidup yang semakin sukar

16 Jun 2008






Tiada ulasan: