Selasa, 14 April 2009

MENGAPA KJ TIDAK DILANTIK?

Sinar Harian, 15 April 2009
Apakah komposisi Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (pada 10 April 2009) merupakan suatu kejutan? Ramai awalnya tertanya-tanya tentang perubahan besar yang dikatakan akan berlaku. Akhirnya kecuali 6 muka yang benar-benar baru, tidak banyak kejutan yang berlaku. Mungkin yang benar-benar terkejut adalah Khairy Jamaluddin (KJ), menantu mantan Perdana Menteri ke-5 yang baru sahaja dinobatkan sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Jawatan Ketua Pemuda UMNO bukanlah jawatan yang kecil di dalam UMNO. Jawatan ini sama tarafnya dengan jawatan Ketua Wanita yang bertaraf Naib Presiden. Lantaran pentingnya jawatan itu dalam membina hararki kepimpinan dalam parti Melayu tertua ini, sering jawatannya menjadi rebutan dan menjanjikan persaingan sengit dalam setiap kali pemilihan. Memang lazim dan mungkin menjadi tradisi ketua sayap pemuda ini diberikan jawatan Menteri. Cuma kali ini pelantikan ini tidak berlaku malah kuota satu menteri itu menjadi 2 Timbalan Menteri, satu diberikan kepada Naib Ketua Pemuda UMNO dan satu lagi diberikan kepada calon yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO itu.

Mengapa KJ tidak dilantik paling kurang sebagai Timbalan Menteri? Alasan yang diberikan adalah kerana bahawa jawatan Ketua Pemuda adalah jawatan sepenuh masa lalu beliau perlu menumpukan perhatian kepada Pemuda. Mungkin satu jawapan untuk menyedapkan hati. Apakah sebelum ini jawatan Ketua Pemuda sebagaimana semasa Dato’ Hishammuddin Hussein Onn jawatan itu sepenuh masa dan tidak memungkinkan penjawatnya memegang jawatan dalam Kabinet? Adakah hanya jawatan Ketua Pemuda dan tidak Ketua Wanita dan Ketua Puteri adalah jawatan sepenuh masa? Tidak duduknya Ketua Pemuda dalam Kabinet bukanlah tradisi UMNO.

Adakah perkiraan yang lain yang menyebabkan KJ tidak dilantik memegang sebarang jawatan dalam Kabinet Najib? Malah tidak melantik KJ bukan suatu perkiraan yang sukar kepada Perdana Menteri baru itu. Awal-awal Najib telah diingatkan oleh pelbagai pihak bahawa Kabinet barunya perlu bersih dan perlu daripada mereka yang dapat memberikan sumbangan kepada kerajaan khususnya dalam menempuh kegawatan ekonomi dunia. Amat malang bagi KJ yang walaupun telah memenangi jawatan Ketua Pemuda tetapi beliau dikaitkan dengan politik wang sebelum pemilihan itu. Malah semasa beliau diisytiharkan menang sebagai Ketua Pemuda pun, secara terbuka beberapa pemuda UMNO melaungkan kata-kata negatif kepada beliau. Jawatankuasa Disiplin UMNO telah mendapati beliau bersalah tetapi hanya diberikan ingatan. Label bersalah itu sudah cukup untuk memberikan imej yang kurang positif terhadap KJ. Beliau mungkin menang dalam pertandingan Ketua Pemuda tetapi kemenangan itu tidak mutlak memandangkan beliau bukanlah mendapat pencalonan terbanyak awalnya dan kemenangan tipis itu dikatakan berlaku dengan adanya tiga orang calon.

Mungkin juga KJ boleh melihatnya dengan positif dengan pemikiran bahawa tanpa duduk dalam Kabinet beliau boleh menumpukan masa terhadap penyusunan semula Pemuda dalam mendekati rakyat. Bunyinya mungkin muluk dan murni cuma dalam realiti politik khususnya dalam politik UMNO ‘sama ada anda di dalam atau anda di luar’. Kini KJ di luar dan kedudukan dua orang dalam Pemuda dilihat lebih mantap berbanding beliau. Timbalan beliau, Dato’ Razali adalah Timbalan Menteri. Sudah tentulah Dato’ Razali selepas ini akan dapat memperkukuhkan kedudukan beliau di kalangan Pemuda. Apatah lagi sememangnya imej beliau dilihat bersih dan beliau dilihat antara tokoh baru yang dinamik. Begitu juga dengan Dato’ Mukhriz Mahathir, anak mantan Perdana Menteri keempat yang tewas dalam perebutan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO. Kini beliau lebih selesa kerana tidak perlu memikul tanggungjawab dalam Pemuda tetapi mempunyai kedudukan sebagai Timbalan Menteri. Apakah yang mendorong beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri? Awal-awal lagi beliau juga dilihat sebagai bersih malah berani memberikan pandangan yang tidak popular. Adakah hanya kerana itu sahaja beliau turut mendapat pelantikan itu atau kerana hubungan ayahandanya dengan Najib. Tun Mahathir menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau mempunyai hubungan dalam pelantikan itu. Cuma ibarat ayah yang marah kepada anaknya, ayah berdehem, anak sudah tahu ayahnya marah.

Ke mana KJ selepas ini? Kedudukan beliau mungkin sukar dalam status quo sekarang. Dua rakan Pemuda beliau, Dato’ Razali dan Dato’ Mukhriz akan dapat terus memperkukuh kedudukan dalam Pemuda UMNO. Kalau status quo ini berterusan amat sukar untuk beliau mempertahankan kedudukan beliau dalam pemilihan jawatan Ketua Pemuda akan datang.

Apakah dengan tidak melantik KJ memegang sebarang jawatan dalam Kabinet sesuatu yang adil kepada KJ? Mungkin ini merupakan tindakan yang tidak adil kepada KJ tetapi mungkin wajar. Wajar kerana pelantikan KJ mungkin akan dipersoalkan oleh pelbagai pihak baik dalam UMNO mahupun di luar UMNO. Malah pengkritik paling lantang mungkin akan datang daripada mantan Perdana Menteri keempat. Pada waktu Najib berhadapan dengan pelbagai rintangan baik secara politik mahupun ekonomi, Najib tidak mampu untuk tidak mendapat sokongan mantan Perdana Menteri itu. Tidak adil pula kerana beliau adalah Ketua Pemuda UMNO. Tanpa memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sukar bagi KJ bekerja untuk memperkukuhkan Pemuda UMNO yang merupakan sayap penting kepada UMNO. Malah sesetengah pihak terutamanya yang bersimpati kepada KJ melihatnya sebagai tindakan untuk memencilkan KJ daripada hararki kepimpinan UMNO. Ini juga akan membuka ruang untuk terbentuknya dua team dalam Pemuda dan seterusnya dalam UMNO. Satu team yang akan menyokong arus perdana Pemuda dengan Dato’ Razali dan Dato’ Mukhriz sementara satu team lagi yang memberikan sokongan kepada KJ. Ada kemungkinan pula pihak-pihak yang kecewa tidak dilantik dalam Kabinet walaupun memenangi jawatan Majlis Tertinggi akan turut menyokong team ini. Ini adalah kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku kerana dalam politik khususnya politik UMNO hatta prinsip akhirnya berkhidmat untuk rakyat teras kepaduannya masih lagi soal ganjaran dan apa yang bakal diperolehi. Bagi KJ pula, jalan politik bagi anak muda yang bercita-cita besar ini semakin sukar, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Tiada ulasan: