Jumaat, 17 Julai 2009

ORANG INDONESIA LEBIH PANDAI MEMBACA?

SINAR, 15 Julai 2009

Kota Jakarta bukan sebuah kota yang asing bagi penulis kerana telah beberapa kali ke sana. Walaupun kota ini sentiasa sibuk, Jakarta masih lagi merupakan kota yang selesa untuk dilawati hatta tidak seselesa kota Bandung yang jauh lebih nyaman dan indah. Di kota Jakarta ini juga kerapakali tidak sukar bertemu dengan orang Malaysia yang sering berbelanja di Tanah Abang, Mangga Dua, Blok M, Cempaka dan sebagainya. Tidak sah berkunjung ke Jakarta kalau tidak membeli-belah kerana pilihan barangan yang banyak dan murah, sebegitu juga tidak sah kalau tidak makan nasi padang. Kalau ditanya orang Jakarta kata mereka Jakarta berpenduduk kira-kira 12 juta pada waktu malam tetapi jumlahnya berganda pada waktu siang apabila orang dari luar Jakarta masuk ke Jakarta untuk bekerja. Jakarta baru-baru ini juga meraikankan dirgahyu ataupun ulang tahun ke-482 tahun kota ini.
Sebenarnya selain sebagai kota kosmopolitan, kota budaya, kota perdagangan, pelbagai tarikan tentang Jakarta yang boleh diceritakan. Tarikan Jakarta kepada kumpulan yang suka membaca mahupun dalam perusahaan buku adalah tentang pesta buku dan tentang pelbagai buku dalam bahasa Indonesia. Pesta buku yang baru lalu adalah Pesta Buku Jakarta, di samping ada dua lagi pesta buku yang besar di Jakarta ialah Pesta Buku Islam pada awal tahun dan Pesta Buku Indonesia yang lazimnya diadakan pada akhir tahun. Ketiga-tiga pesta buku ini berjaya membawa ramai pengunjung di kota Jakarta ini. Sebagaimana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), pesta-pesta buku di Jakarta sememangnya mendapat sambutan hebat. Walaupun kalau diukur daripada segi saiz, pesta-pesta buku di Jakarta tidak lebih besar daripada PBAKL tetapi pesta buku di sini kelihatan mempunyai tarikan yang kuat dan mendapat dokongan yang lebih besar daripada pemerintah dan media massa.
Cuma pesta-pesta buku di Jakarta mempunyai nilai yang agak berbeza dengan pesta buku di Kuala Lumpur. Secara perbandingan jumlah judul baharu buku yang diterbitkan di Indonesia jauh lebih banyak, jauh lebih pelbagai dan malah dalam beberapa bidang boleh dikatakan lebih baik daripada Malaysia. Kalau dilihat buku-buku agama sahaja, maka pelbagai jenis buku agama untuk pelbagai peringkat umur terbit dengan banyaknya di Indonesia. Kalau dilihat al-Quran pun sahaja, pelbagai bentuk al-Quran sama ada al-Quran bertajwid, al-Quran berwarna, al-Quran audio, al-Quran terjemahan dan tafsiran dalam pelbagai bentuk, pelbagai saiz, untuk pelbagai peringkat umur terbit di Indonesia. Indonesia kelihatan jauh meninggalkan Malaysia dalam penerbitan al-Quran untuk mengisi pelbagai keperluan dan peringkat umur berbanding di Malaysia. Apakah hanya penerbitan al-Quran yang Indonesia mendahului kita? Bukan sahaja al-Quran malah dalam pelbagai kategori buku sama ada ensiklopedia, agama, motivasi, agro, perisian, pemasaran dan banyak lagi mereka sudah jauh ke hadapan dengan penerbitan pelbagai jenis buku dalam pelbagai bidang. Malah inovasi penerbitan buku melalui inovasi percetakan memungkinkan buku-buku Indonesia terbit dengan pelbagai ciri yang pencetak Malaysia masih belum mampu lakukan. Ada rakan penerbit yang mendakwa bahawa Indonesia yang dahulunya ketinggalan 5 tahun daripada Malaysia dalam penerbitan buku, kini telah mendahului Malaysia dalam penerbitan dan pengkaryaan 5 tahun ke hadapan.
Kemajuan pengkaryaan di Indonesia juga mungkin berkait rapat dengan kemajuan pembacaan orang Indonesia. Pada waktu buku di Malaysia yang paling laris adalah novel-novel roman ataupun novel-novel cinta yang boleh terjual sehingga 30,000 naskhah atau mungkin lebih, kini buku yang kerap laris di Indonesia adalah novel-novel yang mempunyai isi, falsafah dan ilmu. Novel-novel seperti Ayat-ayat Cinta, Laskar Pelangi, Ketika Cinta Bertasbih masing-masing telah terjual lebih 500,000 naskhah malah ketiga-tiga novel ini telah difilemkan. Filem Laskar Pelangi sebagai contoh telah memecahkan rekod box-office di Indonesia apabila ditayangkan di pawagam. Novelis seumpama Habiburrahman el Shirazy yang menulis Ayat-ayat Cinta, dan Ketika Cinta Bertasbih mampu menjadi jutawan kerana menulis novel, dan pastinya disusuli oleh Andrea Hirata yang menulis Laskar Pelangi. Malah bagi buku umum jualan 30,000 naskah adalah sesuatu yang lazim.
Walaupun suasana perbukuan di Malaysia semakin sihat, kita seharusnya cemburu dengan kerancakan pengkaryaan, penerbitan dan pembacaan di Malaysia. Malah pada hari ini semakin banyak buku Indonesia yang terbit semula di Malaysia dalam bahasa Melayu. Pada hari ini penerbit buku di Malaysia, penulis di Malaysia, pencetak buku di Malaysia, semakin perlu belajar daripada rakan di Indonesia.

Tiada ulasan: