Isnin, 22 Februari 2010

HIKAYAT BAHASA MELAYU

I.
Layu sudahkah titisan Austronesia selepas 2000 tahun dari tanah Campa yang subur? Lupa sudahkah 300 juta pewarisnya yang bersebar dari Timur ke Sri Lanka lalu ke Ocenia dan Afrika Selatan ? Luntur sudahkah bahasa Kun Lun, bahasa Dwipantara, bahasa Malaiyur-pura?

Tatkala I-Ching beristirahat di Fo-Syih di kota Sriwijaya, bahasa Melayu itu bahasa dagang-ilmu-agama, bahasa hayat warga kosmopolitan. Tatkala Raja Portugal melanggari alam Melayu, terhampar warkah Sultan Ternate yang masih tersimpan rapi. Tatkala Ibu Battutah bermusafir di Kailu Kari bahasa itu cukup tampan.

II.
Bahasa Melayu itu inti akidah-persuratan-tamadun, bahasa bicara seluruh alam Melayu. Bahasa Melayu itu lingua fraca yang ditelaah tetamu Cina, India, Arab, Farsi, Portugal, Itali, Belanda, Inggeris, Peranchis dan Sepanyol. Bahasa Melayu itu mengemudi Islam sebaris bahasa Arab, Farsi, Turki, Inggeris dan Hindi. Bahasa Melayu itu bahasa kerajaan dari Patani ke Singapura, dari Borneo ke Filipina Selatan, dari Kalimantan ke Banjarmasin. Bahasa Melayu itu membuahkan Aqa’id Al-Nasafi warisan manuskrip tersohor Melayu yang tercatat dengan tinta. Lalu tidak cukup bukalah Sabil al-Muhtadin , Furu’ al-Masa’il, Siyar al-Salikin dan Hidayat al-Salikin.

Tatkala bahtera dari Atas Angin berbondongan di Selat Melaka, tamadun Melayu mewarnai tanah Aceh. Butir-butir permata Hamzah Fansuri menjadi minda Iskandar Muda Mahkota Alam. Dari Burung Pungguk ke Burung Pingai, dari Syair Dagang ke Syair Faqir lalu berbicaralah Wahdatul Wujud. Terangkat tinggi sfera kesempurnaan rohani bagai dikata Branguicky. Bertempiknya Nuruddin al-Raniri dengan polemik maha dahsyat bangsa Melayu.

Lalu benarkah Homerus dengan Odysseusnya lebih gah daripada Tun Sri Lanang dengan Sulalatus Salatinnya? Lalu benarkah Hikayat Hang Tuah tidak sekufu Hamlet? Diangkat Francois Valentijn bahasa Melayu yang segah bahasa Latin dan bahasa Peranchis.

III.
Lupakah kita jiwa Melayu subur dengan tinta Syed Syikh Ahmad al-Hadi, Syeikh Muhammad Tahir al-Falaki, Abdul Rahim Kajai, Za’ba, Pak Sako, Harun Aminurrashid? Lupakah kita baja yang kita sirami di Pejabat Karang Mengarang? Lupakah kita keringat dan darah Pujangga Baru-Angkatan 45-ASAS 50?

Lalu Sumpah Pemuda 1928 melahirkan sebuah negara Melayu di seberang. Lalu disambut dengan Keranda 152 pendokong bahasa Melayu yang menitiskan Api dan Air Mata di Balai Budaya muafakat menolak memadukan bahasa Melayu.

IV
Sesudah kita junjung bahasa ini dengan ceraian 160 di medan Parlimen; sesudah kita ikrarkan bahasa ini bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pemersatu; sesudah kita bina sejuta kosa kata ilmu; sesudah kita bangunkan sebuah menara gading dengan muatannya hanya bahasa Melayu; sesudah kita tamadunkan bangsa dengan bahasa ini; sesudah kita rafakkan bahasa kita sebagai bahasa supra, bahasa akliah, bahasa ontologi-epistemologi-aksiologi; sesudah kita lontar jauh-jauh jiwa sekularisme:

lalu datang memanda Bendahara dengan sebatang pena, lalu bertitah bahawa demi berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, ilmu akliah dan ilmu hitung itu bukan lagi berlaraskan bahasa Melayu. Lalu kita sama-sama mahu menoktahkan keajaiban bahasa pribumi ini.

Bahasa Melayu: adakah hanya sebuah hikayat?

~ terbit: SUMPAH 152 :
Antologi Puisi Hari Pejuang Bahasa, Gapena, 2010

1 ulasan:

SD berkata...

Menarik tulisan ini En Is. Pengalaman saya di rantau orang melihat Bahasa Melayu sentiasa di persada dunia,tak pernah menjadi hikayat.Malah, hikayat (klasik) yg ada turut dihargai di luar negara. Mungkin dlm kalangan 'org kita' sendiri yg membiarkan BM hanyut sbg sebuah hikayat...tak wajar begitu kan?

Salam hormat dari saya,SD