Khamis, 12 Mac 2009

Benarkah Pak Kaduk Orang yang Bodoh?

Cerita Pak Kaduk, Pak Pandir, Pak Belalang, Si Luncai dan beberapa yang lain terkandung dalam Cerita Jenaka Melayu yang merupakan sebahagian daripada warisan sastera tradisional Melayu. Sesungguhnya orang Melayu kaya dengan warisan kesusasteraan yang awalnya lahir dalam bentuk oral sebelum dijadikan bentuk bercetak. Karya-karya bangsa Melayu malah hebat dan dikagumi orang Eropah. Sulalatus Salatin malah diiktiraf sebagai antara karya besar dunia kerana merupakah dokumentasi tentang sejarah bangsa Melayu yang paling komprehensif, paling berwibawa, paling lama tempoh waktunya malah antara warisan yang paling tinggi nilai kesusasteraannya.

Cerita tentang Pak Kaduk adalah antara warisan Melayu. Adakah karya ini karya yang ingin menampilkan kebodohan orang Melayu atau sekadar bahan lelucuan Melayu. Melihat cerita Pak Kaduk mahupun cerita jenaka lain melalui yang tersurat merupakan suatu kesilapan besar kerana karya ini tidak ditulis hanya sebagai bahan lelucuan. Karya-karya warisan Melayu yang awal lazimnya tidak mencatatkan nama penulis. Ini kerana pengkaryaan dalam zaman Melayu tradisional bukan kerana nama tetapi kerana mengisi keperluan orang Melayu yang perlu dididik dan dibimbing dalam pendekatan yang tidak kompleks. Malah lazimnya karyawan tradisional adalah mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi terutama ilmu yang berkaitan dengan Islam.

Karya-karya Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, dan ramai lagi adalah karya besar yang pernuh dengan ilmu tasawur dan sufi malah teramat sukar mencari karya hari ini yang dapat dihasilkan sehebat karya itu.

Kembali ke cerita Pak Kaduk? Benarkah Pak Kaduk lambang kebodohan orang Melayu? Cerita Pak Kaduk sebenarnya mempunyai unsur alegori Melayu, atau dalam kata lain mempunyai maksud berlapis-lapis atau maksud tersirat. Pada zaman feudal karya tidak boleh langsung menyentuh sesuatu yang berkaitan dengan raja maka unsur-unsur kritikan terhadap raja dibuat melalui alegori. Kisah peminangan Puteri Gunung Ledang contohnya mempunyai unsur alegori yang mendalam.

Apakah alegori di sebalik cerita Pak Kaduk? Sebagai seorang hamba rakyat yang menjunjung dan menghormati raja, Pak Kaduk perlu berpakaian cantik apabila berhadapan dengan raja sewaktu berlaga ayam. Oleh kerana dia miskin, dia memilih berbaju kertas sebagai lambang taat kepada raja hatta akhirnya dia tahu dia mungkin dimalukan. Maka berbaju kertaslah Pak Kaduk.

Raja yang tahu akan kehebatan ayam Pak Kaduk meminta tukar ayam. Pada zaman feudah, raja mempunyai status yang paling tinggi dalam sistem tradisional. Kata-kaya raja adalah titah atau perintah. Menolak permintaan raja dianggap derhaka. Bolehkah Pak Kaduk menolak permintaan raja untuk bertukar ayam? Jawapanya adalah bahawa dalam sistem beraja pada zaman itu, rakyat tidak boleh menolak permintaan raja, hatta dia seorang Bendahara mahupun Laksama. Apatah lagi rakyat seumpama Pak Kaduk sudah tentu tidak berani dan patuh menerima permintaan raja sebagai titah raja. Pak Kaduk bertukar ayam dengan raja bukan semata-mata kerana dia dungu tetapi kerana sebagai hamba rakyat dia harus mematuhi titah raja.

Akhirnya terbukti ayamnya menang cuma ayamnya telah ditukarkan dengan ayam raja. Kemenangan ayam yang dipeliharanya tetap merupakan suatu kegembiraan hatta ayam itu tidak dimilikinya lagi. Pak Kaduk bersorak sehingga baju kertasnya koyak rabak lalu terbukalah semuanya yang tidak harus dibuka. Siapakah yang mendapat malu? Pak Kadukkah yang sudah terbogel di hadapan rakyat atau rajakah yang terpaksa menonton Pak Kaduk seorang tua yang buruk berbogel di hadapannya?

Tiada ulasan: