Isnin, 30 Mac 2009

Gerakan Rakyat VS Kuasa Elitis

Bukit Selambau dikatakan telah mencipta sejarah kerana ada 15 calon untuk pilihan raya kecil. Hebat kerana hari ini rakyat telah tahu kuasa politik, rakyat sudah tahu bahawa mereka bukan sahaja boleh mengundi malah boleh diundi dalam pilihan raya. Cuma rasanya 15 calon itu bukannya sejarah. 2 calon, 3 calon, 10 calon hanyalah angka-angka atas kertas yang akhirnya masih tetap seorang pemenangnya. Malah apa jumlahnya bukan sejarah kerana angka mungkin sebahagian daripada strategi parti elitis untuk memecahkan undi rakyat.

Semasa dalam perjalanan ke tempat penamaan calon di Bukit Selambau, tempat berkumpulnya penyokong PKR, ratusan manusia, ribuaan manusia datang dari pelbagai penjuru untuk sama-sama memberikan sokongan. Masyarakat India dari seluruh negara datang dengan pelbagai bendera dan pelbagai baju biru dan putih PKR. Kenderaan penuh sesak di merata jalan dan penjuru. Malah yang lebih paling hebat, bukannya dengan hadirnya berduyun-duyun orang PKR, PAS dan DAP dari seluruh negara, tetapi rakyat tempatan yang kali ini secara berani beramai-ramai datang memberikan sokongan. Kelihatan mak cik, pak cik, datuk, nenek, yang sesungguhnya mereka orang kampung. Yang inilah sejarah apabila pengundi Bukit Selambau tanpa mengira umur, ras dan bangsa, pelbagai agama datang beramai-ramai. Suatu pandangan yang mengharukan apabila pak cik yang datang berbaju Melayu dan berkain pelekat, mak cik tua, Cina tua berseluar kontot, datang untuk menyokong seorang berbangsa India yang mewakil PKR. Yang inilah sejarah!

Mengapa mereka datang? Malah mungkin ramai yang tidak kenal siapa Manikumar yang akan mewakili PKR. Parti elitis masih lagi tidak mengaku bahawa rakyat sudah mual, sudah muak, sudah kecewa. Yang terbaru menjadikan mereka semakin marah ialah apabila pada hari Isnin malam sebelumnya, pada waktu kira-kira 10,000 orang kampung datang untuk mendengar apa yang mahu ditawarkan oleh PKR, tiba-tiba seluruh kawasan dikepung oleh FRU. Ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru sahaja memberikan salam, seluruh mereka bukan ditaburkan dengan bunga-bunga rampai tetapi semburan air dan gas pemedih mata. Berlarianlah pak cik, mak cik, datuk, nenek, adik-adik, Ah Seng, Muttu dan semuanya mencari tempat perlindungan. Kalau sebelum ini cerita semburan air dan gas pemedih mata hanya terlihat di kaca televisyen dan terbaca di akhbar, malam itu orang kampung Bukit Selambau merasai pengalaman itu. Esoknya cerita semburan air dan gas pemedih mata menjadi cerita kedai kopi di seluruh Bukit Selambau dan Sg. Petani. Berkatalah orang kampung yang selamanya menyokong Pakatan dan selama ini belum menyokong Pakatan: mulai hari ini kami akan sokong Pakatan Rakyat!

Swaktu kami bersesak-sesak di Bukit Selambau (bersama sdr Azmi Hassan dari Putrajaya dan Haji Norasidi Salim, Bendahari PKR WP), seorang rakan memberikan khabar dari Batang Ai (Ai itu dibunyikan sebagai Air, sementara batang maknanya sungai) bahawa calon Bebas menarik diri dan memberikan sokongan terbuka kepada PKR di hadapan Ketua Menteri Sarawak, sementara khabar dari Bukit Gantang bahawa penyokong Pakatan yang hadir mungkin sehingga 50,000 orang berbanding penyokong BN yang kira-kira 3,000 orang sahaja. Akhbar-akhbar perdana mungkin akan memberikan angka yang amat berbeza mungkin kerana pemberita mahupun editornya hanya mempelajari ilmu kewartawanan bukannya ilmu matematik. Sewaktu di Bukit Gantang petangnya, dua perkara paling menonjol selain kesesakan jalan raya dengan pelbagai kenderaan serta tauke tol dan pemilik gerai-gerai mi udang yang tersenyum. Pertama ramainya polis sehingga ada penempatan polis khas bagai kampung dengan khemah-khemah putih dan lori-lori merah FRU. Keduanya perang bendera PAS dan BN. Andainya pemenang pilihan raya dikira dengan berapa banyak bendera yang dipasang, tentunya parti elitis itu yang serba kaya dan mewah sudah dikira pemenang. Cuma bendera tidak boleh mengundi dan yang boleh mengundi nanti adalah rakyat Bukit Gantang yang sudah semakin cerdik.

Kalau di Bukit Selambau terlihat orang-orang kampung yang menyokong gerakan rakyat, penyokong PKR di merata-rata dengan baju mahupun kemeja-T PKR; kalau di Bukit Gantang kelihatan pelbagai kenderaan yang membawa bendera PAS dan PKR, yang lebih hebat lagi adalah sepanjang lebuh raya Utara-Selatan dari Sg Lalang/Sg Petani ke Kuala Lumpur yang penuh dengan kenderaan. Dengan hujan lebat sepanjang perjalanan kembali ke KL, di mana-mana R & R di waktu malam, dipenuhi orang ramai. Yang berhenti makan, berhenti solat, berhenti rehat ini bukan sahaja pak cik yang berkupiah PAS, anak muda Cina yang berkemeja PKR, anak muda Melayu yang berkemeja-T PAS, pemuda India yang terang-terang menyokong Pakatan, malah berduyun-duyun rakyat penyokong Pakatan yang mahu kembali ke Kuala Lumpur setelah menghadiri penamaan calon.

Inilah dia suara dan gerakan rakyat!

Tiada ulasan: